PRU15: PH namakan Anwar calon PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diputuskan ketika pemukiman pimpinan PH yang diadakan selama dua hari di Port Dickson yang bermula pada Khamis.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, PH menyatakan Anwar yang juga merupakan Pengerusi gabungan itu akan turut mengetuai kempen PRU yang akan datang.

“Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh PH dalam mendepani PRU15 dan seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah Negara dengan amanah, demokratik dan adil.

“Kami akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar berkait pemulihan Ekonomi dan kesejahteraan Rakyat.

“Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto PH,” menurut kenyataan itu.

PH dalam kenyataan yang sama turut menyatakan pendiriannya yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan Rakyat.

Sementara itu, PH juga menyatakan pengiktirafannya terhadap potensi dan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu bagi memacu pembangunan negara.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan, pengiktirafan tersebut perlu diselarikan dengan jaminan pengagihan sumber yang lebih saksama, seiring dengan sinergi pembangunan ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan.

Gabungan tersebut memaklumkan siri jelajah ke negeri-negeri akan dimulakan untuk memberikan penerangan kepada Rakyat berkait pendirian dan tawaran Pakatan Harapan menyentuh isu ekonomi rakyat, kestabilan politik dan krisis pandemik Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!