Artis, instafamous perlu tanggungjawab kongsi 'content' di media sosial
SEREMBAN - Golongan artis, instafamous atau personaliti media sosial perlu lebih bertanggungjawab terhadap apa yang dikongsi mereka di media sosial.
Penceramah bebas, Asma Harun berkata, walaupun itu menjadi hak peribadi mereka, namun sebagai individu yang boleh memberi pengaruh kepada masyarakat, mereka sepatutnya lebih berhati-hati.
"ALLAH bagi pengaruh kepada masyarakat sama ada artis, instafamous, influencer atau mereka yang ada dalam bidang perniagaan. Tolong bertanggungjawab ke atas setiap yang kita kongsi di media sosial.
"Walaupun kita kata itu hak peribadi, tapi kalau betul hak peribadi, simpan ia sebagai peribadi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Semarak Ramadan@Anjung Bonda Nor di Bandar Prima Senawang di sini pada Jumaat.
Asma berkata, setiap perkongsian di media sosial juga boleh menimbulkan kekeruhan dan salah faham masyarakat.
Menurutnya, semakin tinggi kedudukan seseorang dalam masyarakat, semakin tinggi bebanan dan amanah yang perlu dijaga.
"Bila kita buat sesuatu dan mendapati positif lebih banyak dari negatif, teruskan. Tapi bila kita tengok ia 50-50, mula muhasabah diri dan betulkan semua niat kita," katanya.
Sementara itu, Asma turut menyatakan kebimbangannya apabila ketika ini ramai individu yang inginkan mendapatkan perhatian walaupun terpaksa menggunakan cara yang salah.
Malah, beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terlalu taksub dengan individu tertentu sehingga menyokong kesalahan yang dilakukan.
"Taksub ini bahaya kerana ia boleh memecah belahkan. Rasulullah SAW juga mencela sifat taksub kerana apabila taksub kita hanya nampak kebaikan saja pada orang itu walaupun dia ada buat salah.
"Jadi apabila kita lihat ada individu tertentu yang boleh mempengaruhi hidup kita atau sampai peringkat kita nak sentiasa ingat dan ikut, maka kita perlu bermuhasabah diri dengan melihat sejauh mana apa yang dibawa oleh individu itu boleh beri kebaikan kepada hidup kita, " katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan kontroversi sebuah jenama selipar yang menggunakan perkataan 'Muslim Friendly' bagi mempromosikan produk, beliau berpendapat, ia tidak terlalu sensitif dengan agama.
"Bagi saya ia bergantung pada perspektif masing-masing. Saya mungkin terbuka dalam isu ini dan saya nampak ia biasa.
"Ia bukanlah perkara yang sampai peringkat kita nak gelarkan sebagai penunggang agama atau menyalahi syariat.
"Pada saya, maksud disampaikan ialah selipar itu lebih kepada 'muslimah friendly' khusus bagi wanita yang memakai stoking," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!