R&R Elmina arah utara dibuka semula esok
KUALA LUMPUR - Prolintas Expressway Sdn Bhd (PESB) pemegang konsesi bagi Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan membuka semula kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Elmina menghala utara bermula Sabtu.
Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menerusi satu kenyataan memaklumkan, kawasan itu sebelum ini ditutup selama empat bulan bagi kerja-kerja naik taraf.
Katanya, R&R arah utara kini berwajah baharu menampilkan reka bentuk berkonsep 'industrial minimalist' dengan hiasan dalaman yang lebih segar serta ruang rehat yang kondusif selain seni lanskap yang lebih hijau.
"Antara kemudahan yang ditawarkan di R&R Elmina ini ialah sebanyak 12 gerai makanan dan minuman yang menyajikan variasi menu menarik.
"Sebuah restoran premium sate Kajang oleh Restoran Sate Kajang Haji Samuri juga menyediakan ruang makan yang lebih luas dan kondusif," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan itu berkata, terdapat kemudahan tambahan yang disediakan termasuk kios-kios menjual makanan ringan.
"Pengguna juga boleh menggunakan fasiliti asas seperti surau yang lebih luas, tandas serta taman permainan kanak-kanak.
"Naik taraf R&R Elmina ini merupakan komitmen berterusan Kumpulan Syarikat Prolintas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna lebuh raya berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!