UMNO disaran adakan EGM, segerakan pemilihan parti
ALOR SETAR - UMNO disaran mengadakan Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) dengan segera bagi membolehkan satu keputusan lebih tuntas dan jelas dibuat berhubung hala tuju parti itu agar diterima majoriti ahli dan pemimpinnya.
Penasihat Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata, ia susulan tersebarnya audio rakaman perbualan telefon individu yang suaranya menyerupai suara pemimpin tertinggi UMNO yang menunjukkan perlanggaran luar biasa terhadap keputusan Majlis Tertinggi dan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 baru-baru ini.
Menurut beliau, pemilihan parti perlu diadakan segera agar kemelut dan perpecahan dalaman parti itu dapat dielakkan.
“Ia selaras dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa Presiden UMNO bersetuju agar pemilihan UMNO akan diteruskan di semua peringkat pada tarikh yang sesuai tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ibrahim Shah berkata, ini termasuk gesaan agar menteri dan timbalan menteri daripada UMNO meletakkan jawatan dalam kabinet selepas perhimpunan parti itu baru-baru ini, yang disifatkan sebagai tindakan tidak waras kerana akan menimbulkan banyak implikasi negatif kepada negara.
“Diminta semua pihak melupakan seketika sengketa politik, janganlah semata-mata meletakkan kepentingan diri sebagai perjuangan utama.
"Sudah lebih setahun negara berdepan wabak Covid-19 yang memberi kesan besar terhadap ekonomi rakyat. Walaupun begitu, saya melihat masih ada segelintir ahli politik yang masih berpolitik tanpa mengira kepayahan rakyat,” katanya.
Beliau berharap semua pemimpin politik bersatu hati dan menyokong kepimpinan negara di saat rakyat kini berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran.
“Apa salahnya jika ahli-ahli Parlimen bersatu hati menyokong kerajaan sedia ada sehingga masalah Covid-19 ditangani kerana yang lebih penting adalah kebajikan rakyat dan peluang ekonomi bagi membantu rakyat khususnya B40 yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.
Menurutnya, sekiranya orang-orang Melayu berpecah maka politik orang Melayu juga akan turut berpecah menyebabkan kuasa politik yang sepatutnya dimiliki selaku rakyat majoriti di negara ini tidak dapat digunakan sepenuhnya untuk survival Melayu.
“Penting untuk ahli-ahli politik Melayu dan Islam bersatu terutama bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang majoritinya adalah orang Melayu dan Islam.
"Pemimpin dan ahli UMNO harus sedar tanpa pembentukan kerajaan PN, mereka mungkin masih bergelar pembangkang dan tidak memimpin semula seperti sekarang dengan memiliki sembilan menteri, yang berperanan penting mencorakkan hala tuju negara,” katanya.
Menurutnya, UMNO harus menerima hakikat bahawa parti itu tidak lagi memiliki majoriti malah tidak lagi berkuasa seperti dahulu, oleh itu parti itu diharap dapat ketepikan kepentingan peribadi.
“Jangan kerana ego dan kepentingan sesetengah individu menyebabkan UMNO dijadikan mangsa. Jika ego dan kepentingan diri wujud dalam UMNO, rakyat dan negara akan menerima kesannya.
"Selepas krisis Covid-19 pulih, saya pasti rakyat akan berterima kasih atas apa yang UMNO lakukan dan akan dikenang sebagai pengorbanan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!