Spa tawar khidmat 'istimewa' digempur
KUALA LUMPUR - Kegiatan persundalan di sebuah premis di Pusat Perniagaan Cheras, di sini, dengan 'menyajikan' gadis warga asing dibongkar.
Pembongkaran menerusi Ops BAH, kira-kira jam 1 pagi itu dijalankan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, seramai 16 wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 31 tahun ditahan dalam serbuan itu.
"Semakan mendapati tujuh daripadanya adalah warga Vietnam, enam warga Thailand dan tiga warga Indonesia.
"Turut ditemui beberapa alat seperti kondom dan minyak pelincir di bilik yang disediakan," katanya di lokasi serbuan.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati premis spa berkenaan membina struktur hadangan secara haram untuk dijadikan bilik dipercayai bagi kegiatan persundalan dengan harga RM200.
Katanya, pihaknya kemudian telah memecahkan struktur hadangan haram yang dibina pemilik premis untuk dijadikan bilik kecil melalui peruntukan Seksyen 76 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
"Ketika serbuan ini, sebahagian wanita ini sedang leka melayan pelanggan.
"Operasi ini akan terus dijalankan bagi mengesan kesalahan dilakukan premis termasuk yang menjalankan kegiatan haram," katanya.
Dalam operasi yang sama, pemeriksaan turut dilakukan di dua hotel murah di Jalan Tunku Abdul Rahman, dan mendapati satu daripadanya tidak mempunyai lesen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!