Penswastaan bazar Ramadan tingkatkan kos peniaga

Kanopi bazar Ramadan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu siap dipasang dan dijangka akan beroperasi bermula 13 April. Gaambar kecil: Zakaria Yusoff
Kanopi bazar Ramadan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu siap dipasang dan dijangka akan beroperasi bermula 13 April. Gaambar kecil: Zakaria Yusoff
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu meluahkan rasa kesal kerana tidak berpeluang menguruskan bazar Ramadan dan Aidilfitri di dua lokasi di Dataran Shahbandar di sini.

Pengerusinya, Zakaria Yusoff berkata, tindakan pihak berwajib membuka tender kepada pihak swasta menyebabkan kebanyakan kebanyakan peniaga tertekan kerana terpaksa menanggung kos sewa tapak yang melambung tinggi.

Menurutnya, tahun ini pihaknya tidak berpeluang menguruskan bazar Ramadan yang kebiasaan sebelum ini diberikan secara rundingan terus oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

"Nasib tidak menyebelahi kita kerana tidak berpeluang mendapat tender selepas pengurusan diberikan kepada orang perseorangan atau swasta.

"Keadaan ini menyebabkan peniaga terutama di bawah persatuan terpaksa berdepan dengan kadar sewa tapak yang tinggi berdasarkan harga tender paling tinggi yang dipilih.

"Saya juga difahamkan setakat ini seramai 20 peniaga yang antaranya kecewa dengan situasi ini mengambil keputusan untuk berehat dan tidak berniaga sepanjang Ramadan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau berkata, kebanyakan peniaga merayu kepada kerajaan supaya mempertimbangkan agar pengurusan bazar Ramadan di kawasan itu dapat diberikan kepada pihak persatuan pada masa akan datang.

"Di peringkat persatuan kita tidak bersifat mengejar keuntungan peribadi. Untung pun untuk tabung persatuan. Untuk manfaat ahli-ahli. Bila tidak dapat sesuatu projek kita tidak berupaya untuk kembangkan operasi kerana 'kantung' sudah kempis.

Artikel Berkaitan:

"Kalau boleh pada masa akan datang kita harap pihak berwajib dapat memberi peluang kepada persatuan peniaga menguruskan bazar Ramadan di kawasan yang mampu menempatkan seramai 250 peniaga ini.

"Dalam hal ini, kita tidak bermaksud untuk menyalahkan antara satu sama lain, namun sekiranya peluang ini diberikan kepada persatuan ia dapat memberikan manfaat kepada ahli-ahli kita yang keseluruhannya seramai 3,200 orang di sekitar bandar Kuala Terengganu, " katanya.

Pada Ramadan kali ini, MBKT menyediakan 20 tapak bazar selain tiga buah lagi bazar Aidilfitri yang akan mula beroperasi pada hari pertama puasa dijangka bermula pada 13 April.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!