Penyokong BN rebah, meninggal dunia
KAJANG - Seorang penyokong BN dari Kuala Terengganu, Mamat Awang, 59, meninggal dunia ketika menyertai perarakan calon ke Pusat Penamaan Calon, PRK DUN Semenyih.
Mamat dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri ketika berkumpul bersama penyokong BN yang lain di kawasan lampu isyarat berhampiran Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian yang menjadi pusat penamaan calon PRK Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Assisten Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof semasa ditemui media mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Mangsa telah rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 9.20 pagi.
"Pegawai perubatan dari klinik swasta telah membuat pengesahan awal kematian.
Ahmad Dzaffir berkata, punca kematian belum dikenal pasti.
"Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, jenazah dibawa ke bahagian forensik Hospital Kajang dan akan dimandi dan disembahyangkan, sebelum dibawa pulang ke Terengganu.
"Saya sendiri akan mengiringi arwah bersama anaknya untuk dibawa pulang. Bagaimanapun, urusan pengebumian bergantung kepada ahli keluarga dan jenazah sampai bila," katanya.
Mengulas lanjut, Wan Hisham berkata, arwah yang merupakan ahli UMNO cawangan Ladang mempunyai penyakit darah tinggi dan ketika kejadian, dia mengalami sesak nafas sebelum terbaring.
"Kehilangannya amat dirasai, apatah lagi beliau sangat aktif dan tetap setia dengan parti selama ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!