Buang bayi: Polis tahan pasangan kekasih
KUALA SELANGOR - Polis menahan sepasang kekasih bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi lelaki di dalam kotak di belakang perhentian bas di kawasan Perindustrian Batu 22 Ijok di sini pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, kedua-dua individu terbabit ditahan di dua lokasi berbeza hasil risikan dan maklumat awam yang diterima pada jam 5 petang Jumaat.
Menurutnya, kedua-dua mereka berusia 20 tahun yang bekerja sebagai jurujual ditahan di lokasi berasingan di Sungai Buloh dan Ijok.
"Penahanan dibuat berdasarkan sedikit petunjuk yang ditinggalkan bersama mayat bayi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Ambia berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit mengaku telah melahirkan bayi lelaki di tandas rumahnya di Ijok.
Katanya, sejurus melahirkan bayi tersebut, wanita itu panik kerana bayinya tidak bergerak sebelum meninggalkan bayi berkenaan yang tidak bernyawa di Perhentian Bas Batu 22 Ijok.
"Ibu bapa wanita terbabit mengakui dia tidak mengetahui anak perempuannya mengandung dan melahirkan bayi," katanya.
Menurut beliau, wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.
"Kedua-dua mereka yang ditahan akan dibawa di hadapan majistret untuk permohonan reman pada Sabtu," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mayat seorang bayi lelaki ditemui di dalam kotak di belakang perhentian bas di kawasan Perindustrian Batu 22 Ijok di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, bayi itu itu ditemui orang awam sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat bayi lelaki ditemui dalam kotak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!