UMNO di persimpangan dilema
PERKEMBANGAN semasa pasca Perhimpunan Agung UMNO (PAU) memperlihatkan parti tersebut berada di persimpangan.
Dengan keputusan memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang tidak disambut sepenuhnya pemimpin UMNO ditambah pula dengan dakwaan rakaman audio perbualan tular Rabu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sememangnya berdepan cabaran yang getir dan berliku.
Ketika ini UMNO sudah terbahagi kepada dua kelompok iaitu kelompok mahkamah dan kelompok menteri. Kedua-dua kelompok ini dijangka bakal bertembung dalam pemilihan parti yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Kelompok mahkamah kebanyakannya terdiri daripada mereka yang menguasai kepimpinan parti namun tidak mempunyai tempat dalam kerajaan.
Kelompok menteri pula adalah mereka berjawatan dalam kerajaan tetapi terpinggir dalam hierarki parti.
Kedua-dua kelompok ini ada kekuatan dan kekurangan masing-masing. Jika diimbas amalan UMNO terdahulu, kelompok yang menguasai parti akan menguasai kerajaan, lagi tinggi jawatan dalam parti lagi besarlah jawatannya dalam kerajaan.
Sebab itu memenangi jawatan dalam parti sangat penting buat pemimpin UMNO. Ia dilihat sebagai kunci kepada segala kelebihan. Sebab itu setiap kali pemilihan, macam-macam drama yang dipertontonkan.
Kali ini, senario tersebut berubah. Sebab itu UMNO seperti berada di persimpangan dilema. Dahulu amat mudah untuk membaca keputusan pemilihan UMNO. Kekuatan penyandang amat sukar dikalahkan sering mengekalkan status quo.
Lazimnya penyandang hanya akan kalah atau hilang jawatan sekiranya dipecat atas sebab disiplin atau keputusan parti terutamanya selepas pemilihan UMNO 1988. Selain sebab itu, memang sukar untuk mengalahkan penyandang.
Paling tertekan sekarang ini sudah tentulah presiden parti. Keadaan semasa dilihat tidak menyebelahi beliau. Biasalah bagi mana-mana presiden parti ditekan dan dikecam.
Presiden sebelumnya pun begitu. Malah, zaman Datuk Seri Najib Tun Razak lebih teruk lagi. Cuma untungnya ketika itu Najib masih ada kuasa dan menjadi perdana menteri. Kelebihan itu menjadikan kedudukan beliau selamat dan tidak tergugat.
Ini yang tidak dimiliki oleh Zahid sekarang. Menjadi presiden parti tanpa jawatan dalam kerajaan tidak memberikan apa-apa kelebihan. Apa yang berlaku selepas PAU cukup jelas membuktikan hal itu.
Cabaran supaya menteri-menteri UMNO meletak jawatan langsung tidak dihiraukan. Malah, semakin ramai pula yang mencadangkan beliau berundur sebagai presiden.
Lebih malang tidak ramai yang kedepan untuk mempertahankan beliau sebagai presiden. Berbeza benar dengan UMNO suatu ketika dahulu. Masa Najib terpalit dengan isu 1MDB pun masih ramai pemimpin UMNO tampil mahu membelanya.
Harus diingat masih ada satu lagi kelompok yang ada dalam UMNO. Kelompok ini terdiri daripada mereka yang bebas dan tiada kes mahkamah serta tanpa jawatan kerajaan.
Walaupun mereka berada dalam hierarki parti, tetapi mereka tidak menunjukkan bahawa mereka bersama dengan presiden. Malah, mereka masih kelihatan oportunis dan sanggup menunggu untuk melakukan sesuatu secara berhati-hati tanpa sebarang tekanan.
Dijangka, tiga kelompok berbeza inilah yang bakal merebut kepimpinan UMNO sekali gus akan menentukan hala tuju parti tersebut selepasnya.
Ketiga-tiga kelompok ini akan menggunakan segala sumber dan kelebihan masing-masing yang dilihat terhad dalam memastikan kemenangan dalam pemilihan tersebut. Ini menjadikan pemilihan UMNO kembali terbuka dan seimbang.
Itu baru diperingkat pemilihan parti, belum lagi cerita selepas menang pemilihan. Apa pula naratif yang bakal dibawa pemenang dalam merencanakan UMNO?
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!