Perbaharui azam pada Ramadan

Antara intipati azam yang boleh diikuti adalah dengan berniat untuk istiqamah dalam menunaikan ibadah serta amalan-amalan mulia yang lain.
Antara intipati azam yang boleh diikuti adalah dengan berniat untuk istiqamah dalam menunaikan ibadah serta amalan-amalan mulia yang lain.
A
A
A

BULAN Ramadan al-Mubarak bakal membuka tirainya beberapa hari sahaja lagi. Sudah pasti ramai merindui suasana bulan mulia ini, lebih-lebih lagi baru-baru ini kita telah menerima khabar gembira daripada pihak kerajaan bahawa ibadah solat tarawih di masjid-masjid serta surau dibenarkan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menurut sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada ALLAH serta mengharapkan keredaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa orang yang berpuasa di bulan Ramadan dengan ikhlas serta hanya mengharapkan keredaan-NYA maka akan diampunkan segala dosa-dosa kecilnya.

Setiap kali masuknya tahun baharu, kebiasaannya kita pasti akan memperbaharui azam masing-masing dengan penuh semangat.

Namun, kita tidak sedar bahawa memperbaharui atau tajdid azam sebelum memasuki bulan mulia Ramadan al-Mubarak adalah antara elemen terpenting dalam sebuah perjalanan menjadi hamba ALLAH yang bertakwa.

Sesungguhnya, azam atau matlamat yang ditetapkan haruslah jelas dan tidak membebankan supaya mudah-mudahan berkat bulan mulia Ramadan, amalan baik tersebut dapat diamalkan secara berterusan walaupun setelah berlalunya Ramadan itu nanti.

Selain itu, perbanyakkanlah doa kepada ALLAH agar dikurniakan keteguhan iman serta terhindar daripada segala kesesatan dengan memperbanyak bacaan doa ini yang membawa maksud: “Wahai Tuhan kami, janganlah engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi kurnia.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 8).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa pentingnya mujahadah dalam memperbaharui azam sebelum menjejaki bulan mulia tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebagaimana yang diketahui, bulan Ramadan bukanlah seperti bulan yang lainnya. Sebagai contoh, antara keistimewaan bulan Ramadan ialah berlakunya peristiwa Nuzul Al-Quran di mana peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan secara berperingkat sehingga lengkap sebagai kitab al-Quran yang ada pada hari ini.

Lantas, dengan menyedari betapa besar keberkatan bulan Ramadan al-Mubarak, kita akan lebih bersemangat dalam memperbaharui azam dalam bulan mulia ini.

Oleh yang demikian, antara intipati azam yang boleh diikuti adalah dengan berniat untuk istiqamah dalam menunaikan ibadah serta amalan-amalan mulia yang lain.

Antara contoh ibadah yang boleh diniatkan untuk kekal konsisten adalah dimulai dengan melazimi solat sunat tahajud serta solat sunat sebelum fajar serta lain-lain lagi.

Dalam situasi negara yang masih lagi dilanda pandemik Covid-19, mendekatkan diri kepada ALLAH merupakan salah satu kunci terbaik bagi menyeimbangkan semula rohani dan jasmani yang kian meruncing.

Seterusnya, Ramadan juga sering menjadi medan pengerat hubungan kekeluargaan. Terutamanya ketika bersahur serta berbuka puasa menjadi waktu yang berkualiti apabila setiap keluarga dapat berkumpul bagi menikmati hidangan berbuka puasa bersama.

Dalam pada itu, sekiranya ada hubungan kekeluargaan yang sebelum ini mungkin rapuh, mungkin dapat dieratkan semula asbab keberkatan bulan Ramadan.

Secara kesimpulannya, teruskanlah istiqamah dalam bermujahadah untuk menjadi versi diri kita yang terbaik di dunia serta di alam akhirat nanti.

Semoga ALLAH mempermudah setiap prakarsa yang kita lakukan dalam perjalanan memperoleh keredaan-NYA. Insya-ALLAH.

* Nurul Hajar Jamaluddin ialah Pembantu Hal Ehwal Islam Universiti Teknologi Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!