Tiada pembelaan selepas wujud rasa simpati

Rasa malu dan simpati dengan ahli keluarga lain antara punca mangsa sumbang mahram enggan lapor kepada pihak berkuasa. - Foto 123RF
Rasa malu dan simpati dengan ahli keluarga lain antara punca mangsa sumbang mahram enggan lapor kepada pihak berkuasa. - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Rasa malu dan simpati dengan ahli keluarga lain adalah antara punca mangsa mengambil sikap berdiam diri berbanding melaporkan perbuatan sumbang mahram kepada pihak berkuasa.

Aktivis sosial dan wanita, Azzita Aziz berkata, kebanyakan kes yang dikendalikannya mendapati mangsa tidak mendapat sokongan ibu bapa selepas kejadian yang akhirnya kes itu sepi tanpa pembelaan.

Menurutnya, ibu bapa perlu menjadi pelindung kepada anak perempuan terutama mereka yang sudah terjebak dengan kejadian itu.

“Namun dalam kes yang ditemui, reaksi yang saya terima mengecewakan. Ada ibu bapa mangsa sendiri minta saya jangan campur tangan dalam masalah keluarga mereka. Mereka juga tidak endah dengan nasihat yang diberikan setelah kejadian itu.

“Dalam situasi itu, mangsa sendiri akan berasa kasihan pada ibu bapa yang malu dan tertekan akan pandangan masyarakat,” katanya di sini.

Beliau berkata, mangsa terdiri dalam kalangan remaja hingga berusia 27 tahun yang tinggal di kawasan pedalaman dan kurang didikan agama.

“Kejadian itu kebanyakan terjadi ketika ibu bapa keluar bekerja. Perkara itu hanya terbongkar selepas diceritakan rakan-rakan ataupun jiran-jiran yang mula mengesyaki sesuatu.

“Hasil luahan perasaan mangsa mendapati ada antara mereka dipaksa oleh pelaku juga ada sekadar mencuba kerana terpengaruh dengan adegan yang ditonton di laman sosial.

Artikel Berkaitan:

“Dari sekadar mencuba akhirnya ‘gian’ meskipun mengetahui perbuatan itu berdosa. Tetapi mangsa sendiri tiada kekuatan dan sokongan untuk menolak perbuatan itu,” katanya.

Azzita berkata, aktivis berperanan memberi sokongan dan membantu membuka jalan bagi memudahkan mangsa mendapat pembelaan.

“Mereka ingin keluar dari situasi itu apabila mangsa sendiri berhubung bagi mendapatkan bantuan. Kita akan beri nasihat termasuk membantu untuk membuat laporan polis,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa kandung paling ramai ‘ratah’ anak

Manipulasi suspek terhadap mangsa

Mangsa sumbang mahram perlu segera dibantu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!