PJ City FC sedia perangkap JDT
PETALING Jaya FC (PJ City FC) berjanji akan memperagakan aksi terbaik apabila turun menentang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Pengendali PJ City FC, P Maniam berkata, anak-anak buahnya sudah melakukan persiapan rapi, namun sedar perlawanan sukar bakal dihadapi untuk mencabar penyandang juara tujuh kali Liga Super itu.
"Kami mendapat motivasi terbaik ketika bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat KL City FC pada Rabu lalu. Selepas itu, kami mempunyai dua hari untuk mempersiapkan pasukan untuk menentang JDT.
"Bukan perlawanan yang mudah menentang JDT kerana mereka pasukan yang bagus. Kami perlu membuat persiapan yang baik dan dalam masa sama saya mahu setiap pemain fokus dan berjuang dalam perlawanan itu," katanya.
Dalam masa sama, Maniam mengakui akan membuat penggiliran dalam perlawanan menentang JDT untuk merehatkan beberapa pemain ekoran jadual padat dalam saingan liga kali ini.
"Pemain perlu terus positif dan pemain tempatan yang kami ada dalam pasukan telah menampilkan permainan yang bagus dan kita perlu kekalkan corak yang dipamerkan ini sehingga penghujung musim," katanya.
Untuk rekod, PJ City FC seringkali menjadi 'duri dalam daging' kepada JDT apabila pernah mengejutkan skuad Harimau Selatan itu dua kali dalam tujuh pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!