Bekas sarjan berteduh dalam bangsal
KOTA BHARU - Berkeadaan lumpuh separuh badan akibat strok tidak menghalang seorang bekas sarjan menghias landskap dan menjaga kebersihan bangsal yang menjadi tempat tinggalnya di Kampung Sungai Budor di sini sejak dua tahun lalu.
Ismail Yaacob, 61, memilih untuk tinggal dalam bangsal serupa stor kecil seluas empat meter persegi yang beratap zink kerana tidak mampu membina rumah baharu.
Menurutnya, dia tinggal bersendirian di bangsal itu dan hanya bertemankan burung serta ayam peliharaannya selain bercucuk tanam bagi menghilangkan kesunyian.
“Kali terakhir saya berkhidmat sebagai pembantu pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star, Alor Star, Kedah pada 2014.
“Selepas pencen, saya kena strok pada Disember 2017. Setahun 'terjelepuk' macam kain buruk kemudian menduda dan pulang ke kampung tahun 2019 untuk belajar agama di Pondok Pasir Tumboh.
“Kini saya tinggal di bangsal kerana tidak cukup duit untuk bina rumah baharu. Rumah pusaka arwah ibu bapa bersebelahan ini sudah reput dan menunggu masa runtuh,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Budor di sini pada Khamis.
Ismail berkata, empat anaknya berusia 30-an hingga 20-an tinggal di Kuala Lumpur kerana bekerja dan sering pulang menziarahinya.
Menurutnya, dia pula hendak tinggal di kampung kerana sudah tua.
“Makan minum saya beli di kedai. Kadangkala ada anak jiran hantarkan,” katanya.
Dalam pada itu, dia mengakui hasrat memiliki rumah terhalang bukan setakat wang malah kudrat lewat usia yang turut membatasinya.
“Bangsal ini dibina oleh saudara mara dan tentunya kurang selesa terutama ketika hujan, namun saya bersyukur kerana ketua balai, ketua polis daerah dan pemimpin masyarakat yang sentiasa ziarah serta menghantar bekalan makanan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Ismail Yaacob Bank Simpanan Nasional 0412029886667234 atau hubunginya di talian 011 3914 0308.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!