Suntik semangat usahawan istimewa
PERUNTUKAN lebih RM171 juta yang disediakan kerajaan menerusi inisiatif Prihatin Orang Kurang Upaya (OKU) dan MyKasih memberi suntikan semangat kepada usahawan OKU untuk terus berjuang bagi memastikan perniagaan mereka terus bertahan dan berkembang.
Pengerusi Koperasi Usahawan MyOKU Selangor Berhad (KUOS), Muhamad Asyraf Mahat berkata, pelbagai inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) memberi manfaat besar kepada usahawan OKU terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir ketika ini.
“Tempoh pandemik sekarang adalah waktu yang amat sukar lebih-lebih lagi buat golongan OKU yang mudah terjejas dari segi mental, fizikal dan kesihatan.
“Pelbagai inisiatif yang diberi kerajaan di bawah program Prihatin OKU seperti peruntukan RM20 juta untuk program keusahawanan, RM26 juta elaun OKU bekerja dan RM25 juta skim mikrokredit istimewa sangat meringankan beban golongan ini,” katanya.
Muhamad Asyraf berkata, menerusi peruntukan program kusahawanan, kerajaan bukan sahaja mengukuhkan program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahkan membantu program keusahawanan termasuk dari segi pemasaran produk.
Selain itu, katanya, langkah kerajaan meningkatkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada RM1,200 ke RM1,500 membolehkan lebih ramai OKU menerima elaun sebanyak RM450 sebulan itu.
“Apabila had kelayakan ini dipinda, ia memberi tambah nilai kepada OKU supaya tidak lagi jadi golongan minoriti dalam sektor pekerjaan," katanya.
Terus maju
Sementara itu, Penolong Setiausaha Majlis Belia OKU Malaysia, Muhammad Ghazali Othman berkata, inisiatif yang dibuat kerajaan memberi galakan kepada usahawan OKU untuk terus maju ke depan.
Menurutnya, galakan itu ibarat imuniti kepada usahawan OKU untuk mendepani cabaran kemelesetan ekonomi sekarang.
“Dengan bantuan kerajaan, usahawan boleh meningkatkan kemahiran mereka seterusnya dapat memberi impak kepada kejayaan bisnes mereka.
“Selain itu, pemberian bantuan barangan dapur tanpa tunai melalui MyKasih bagi menangani kemiskinan juga amat meringankan beban OKU kategori B40. Usaha ini sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan dapur OKU setiap bulan,” katanya.
Kembangkan perniagaan
Dalam pada itu, pengusaha pusat refleksologi cacat penglihatan, Mohd Fauzi Mansor berkata, sokongan dan bantuan yang diberikan kerajaan membantu bisnesnya terus bertahan sehingga sekarang.
“Seperti yang kita tahu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu, majoriti perniagaan terpaksa ditutup termasuk pusat refleksologi saya.
“Saya dan rakan-rakan yang menyediakan perkhidmatan urutan memang terjejas teruk. Tapi dengan adanya pelbagai inisiatif kerajaan kepada OKU, saya dapat terus kembangkan lagi perniagaan saya,” katanya.
Menurut seorang lagi pengusaha pusat refleksologi, Fakhruddin Zakaria, elaun pekerja cacat yang dinaikkan daripada RM400 kepada RM450 melalui Pemerkasa menggalakkan lebih ramai OKU untuk bekerja dan memulakan perniagaan.
“Banyak juga bantuan yang disalurkan oleh kerajaan untuk menggalakkan OKU memulakan perniagaan seperti menawarkan pendaftaran peniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) percuma, pembiayaan skim mikrokredit istimewa dan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan.
“Saya turut menerima manfaat daripada bantuan yang disalur ini dan ia membantu saya meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pelanggan saya,” katanya.
Pengusaha kedai dobi, Mohd Amri Ahmad pula memberitahu, bantuan yang diberikan kerajaan membolehkannya membeli tiga mesin dan alatan tambahan di kedainya.
“Saya membeli mesin basuh komersial berkapasiti 13 kilogram (kg), mesin pengering kapasiti 16 kg dan seterika wap dengan bantuan yang diberikan kerajaan.
“Dengan bantuan tersebut, ia dapat menambahkan pendapatan kedai ini. Pada masa sama, saya juga terpaksa bersaing dengan dobi layan diri selain ramai pelanggan saya juga sudah membeli mesin basuh sendiri sejak PKP 1.0 dikuatkuasakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!