Bubur lambuk Kampung Baru kembali meriahkan Ramadan ini
KUALA LUMPUR - Peminat bubur lambuk Kampung Baru akan dapat menikmati keenakan juadah tradisi berusia lebih 100 tahun itu apabila program edaran makanan tersebut yang menjadi program tahunan akan diteruskan sempena Ramadan tahun ini.
Tahun lepas program edaran bubur lambuk oleh Masjid Jamek Kampung Baru tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.
Pengerusi masjid itu, Datuk Mohd Khay Ibrahim berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kelulusan untuk menyediakan, memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.
"Buat masa ini, kami hanya akan buat untuk pengagihan kerana berdasarkan maklumat daripada surat pekeliling Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) masih tidak membenarkan majlis berbuka puasa dilakukan di masjid," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, tahun ini, pihak masjid membelanjakan lebih RM200,000 yang diterima daripada sumbangan orang ramai bagi penyediaan hidangan tersebut.
"Kami akan memasak minimum 15 periuk setiap hari sepanjang Ramadan ini, yang akan dilaksanakan secara gotong-royong membabitkan hampir 30 kariah masjid.
"Biasanya, untuk satu periuk kami akan peroleh hingga 190 bungkus bubur lambuk dan kami akan menggunakan 15 kilogram beras (kg), enam kg daging, enam kg santan, satu kg udang kering serta campuran rempah ratus," katanya.
Menceritakan keenakan bubur lambuk Kampung Baru, Mohd Khay berkata, tiada rahsia tertentu di dalam penyediaannya.
"Kami menggunakan resipi turun-temurun dan tidak pernah merahsiakan bahan yang digunakan atau mengurangkan serta menambah ramuan. Mungkin juga keberkatan bersedekah kepada orang ramai membuatkan ia rasa sedap," katanya.
Pada masa sama, Mohd Khay juga yakin masyarakat boleh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang proses pengagihan dilaksanakan nanti.
"Kami tidak lihat penetapan SOP ini sebagai satu kesusahan kerana ia sudah menjadi amalan semua masyarakat sejak setahun lepas.
"Selain beratur di pekarangan masjid, mungkin kami juga akan mengaplikasikan kaedah secara pandu lalu namun itu juga mengikut kepada kesesuaian," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!