Peluang terakhir atlet terjun buru tiket Olimpik 2020
KEJOHANAN Terjun Piala Dunia 2021 yang akan berlangsung di Tokyo pada 1 hingga 6 Mei ini menjadi platform terakhir bagi barisan penerjun negara memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (MS), Mae Chen yakin atlet terjun negara mampu meraih slot tambahan ke temasya sukan berprestij berkenaan pada kejohanan kali ini.
“Saya harap tiada lagi perubahan dan kejohanan itu akan berlangsung. Kami mengadakan percubaan pada dua hari lepas dan gembira melihat skuad terjun negara dalam keadaan sangat bersemangat,” katanya menerusi rakaman audio pada Sabtu.
Piala Dunia 2021 sebelum ini dijadualkan berlangsung di Tokyo pada 18-23 April itu bagaimanapun dibatalkan atas sebab keselamatan berikutan pandemik Covid-19.
Atlet terjun yang mengintai peluang untuk layak ke Olimpik pada kejohanan kali ini adalah Cheong Jun Hoong, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang manakala Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee yang telah layak, turut menyertai kejohanan itu.
Untuk rekod, Malaysia meraih pingat perak menerusi gandingan Pandelela-Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Rio 2016. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!