Penyokong suntik semangat Penang FC

Penang FC berada dalam prestasi terbaik menjelang aksi menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya pada Ahad. - Foto FB Penang FC
Penang FC berada dalam prestasi terbaik menjelang aksi menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya pada Ahad. - Foto FB Penang FC
A
A
A

KEHADIRAN penyokong bakal memberi suntikan semangat umpama ''pemain ke-12'' dalam pasukan Penang FC untuk menghadapi baki perlawanan Liga Super 2021.

Ketua Jurulatih Penang FC, Tomas Trucha berkata, pasukan itu ingin merasakan kehadiran penonton secara fizikal kerana penyokong telah memberikan sokongan padu ketika perlawanan sebelum ini baik ketika menghadiri stadium bahkan secara tontonan maya.

"Kami merindui sorakan daripada penyokong Penang FC. Jujurnya, penangguhan hari perlawanan tidak memberikan apa-apa perubahan kepada persiapan pasukan. Kami sudah siap sedia untuk menentang Sabah FC seperti yang sudah dijadualkan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp pada Sabtu.

Selepas lebih setahun tidak dibenarkan menyaksikan perlawanan dalam stadium, penyokong termasuk Ultras Panthers akan dibenar menyaksikan perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya pada Ahad.

Dalam pengumuman pada 7 April, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi laman sesawang rasminya telah meluluskan permohonan Sabah FC untuk menangguhkan perlawanan menentang Penang FC yang dijadualkan pada 9 April kepada 11 April.

Selain itu, Trucha berkata, tahap kecergasan pemain bimbingannya masih belum mencapai tahap memuaskan lagi, namun mereka akan diberi masa untuk perbaiki segala kelemahan.

Beliau berkata, Sabah FC berupaya untuk menyukarkan setiap pasukan yang berentap di dalam liga ini dan beliau mahukan semua pemain bekerja keras untuk memastikan kemenangan.

"Saya masih tidak berpuas hati dengan kecergasan pemain...tetapi kami berusaha dan harapan saya masih jauh agar pemain beraksi secara intensif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pasukan Harimau Kumbang kini fokus untuk mengekalkan kelebihan pasukan dan memperbaiki bahagian permainan yang kurang memuaskan untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

Selepas tujuh perlawanan, Penang FC mencatat empat kemenangan, dua kalah dan satu seri untuk menduduki tangga ketiga liga dengan 14 mata. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!