Mayat berbungkus masih belum dikenalpasti
SUNGAI SIPUT - Mayat lelaki yang ditemui berbungkus di tepi jalan KM57 Kuala Kangsar - Gerik di Kuala Kangsar di sini minggu lalu masih belum dikenalpasti.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, identiti sebenar mangsa belum diperoleh selepas gagal mendapatkan cap jari akibat proses pereputan.
"Kita percaya mangsa merupakan warganegara berdasarkan parut suntikan pada lengan kirinya.
"Bagaimanapun, hebahan telah dilakukan melibatkan semua kontinjen sekiranya ada laporan orang hilang untuk mengenalpasti identiti mayat," katanya ketika ditemui pada Program Kayuhan Muhibbah Sempena Peringatan Hari Polis ke-214 di Dataran Karai berhampiran Jambatan Victoria di sini pada Sabtu.
Pada 29 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat yang dibalut dengan kain putih di tepi jalan dan punca kematian kerana kecederaan di kepala akibat objek tumpul.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu katanya, polis Perak akan memperketatkan pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya (SJR) bagi memastikan tiada masyarakat yang mengambil kesempatan merentas negeri menjelang Ramadan Selasa ini.
Mior Faridalathrash berkata, pihaknya akan memastikan mereka yang mempunyai dokumen lengkap dengan alasan munasabah dibenarkan melepasi SJR.
"Kita faham apabila ramai yang ingin bercuti untuk sambut Ramadan bersama keluarga namun, saya nasihatkan mereka yang tiada urusan jangan balik, kekal di tempat asal.
"Pemeriksaan di semua SJR akan dipertingkatkan dan mereka ada alasan kukuh dibenarkan dan yang paling utama mesti mendapatkan kebenaran rentas negeri," katanya.
Ditanya mengenai isu borang rentas negeri kosong yang sudah ditandatangani dan dicop, Mior Faridalathrash mengingatkan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk memastikan perkara sama tidak berlaku di negeri ini.
"Semua ketua polis daerah perlu memastikan isu sebegini tidak berlaku. Tiada keperluan untuk tandatangan atau cop siap-siap borang itu.
"Mereka yang ingin memohon perlu hadir ke balai untuk mendapatkan kebenaran secara rasmi daripada ketua polis balai dengan memberi alasan kukuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!