Usahawan ibu tunggal disaran manfaat platform digital
KUALA LUMPUR - Usahawan ibu tunggal perlu mengambil kesempatan dengan menggunakan platform digital sebagai medium bagi mengembangkan perusahaan mereka.
Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Noh Omar berkata, platform itu juga dilihat penting terutama menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat ramai usahawan sudah mendapat manfaat selepas beralih ke platform digital yang lebih menawarkan peluang kepada perniagaan mereka.
"Disebabkan itu, saya sarankan ibu-ibu tunggal dapat berdikari dan menggunakan platform digital ini untuk menceburi bidang perniagaan," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Perasmian dan Penutup Bengkel Pembangunan Usahawan & Mesyuarat Agung Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Negeri Selangor di Hotel Novotel pada Sabtu.
Dalam pada itu, susulan penularan pandemik Covid-19, Noh berkata, PUNB turut mengambil inisiatif menawarkan bantuan pembiayaan khas minimum RM50,000 kepada mereka yang diberhentikan termasuk golongan ibu tunggal.
"Selain itu, PUNB turut menawarkan Skim Jumper Start Up PUNB (JUMPER) kepada anak-anak ibu tunggal yang berkonsepkan mentor dan mentee.
"Menerusi skim ini, kami akan memberi modal dan pihak terlibat juga tidak terikat dengan syarat asas PUNB," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!