Rakaman audio tidak lagi relevan dibahaskan, kata Khalid
KOTA BHARU - Penafian yang dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu rakaman audio membabitkan perbualannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular sebelum ini dianggap sudah tidak relevan untuk dibahaskan.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, hal ini kerana kedua-dua individu yang didakwa terlibat dalam rakaman itu secara terbuka telah menafikan perkara tersebut.
"Kedua-dua pihak sudah nafi, bagi kami (Amanah) ia tidak lagi menjadi satu isu relevan yang perlu dibincangkan.
"Saya rasa pelik bila dia orang nafi, tapi polis pula nak campur tangan dan sahkan (ketulenan rakaman)," katanya ketika diminta mengulas berhubung isu rakaman audio antara Anwar dan Ahmad Zahid yang tersebar di media sosial baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Makan Laksa Ambang Ramadan Bersama Masyarakat di Kampung Kubang Kachang di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, isu rakaman audio itu bukan satu jenayah yang perlu dilakukan siasatan oleh pihak polis dan Amanah juga telah bersetuju untuk menganggap perkara itu sebagai satu isu yang tidak perlu dibahaskan.
Katanya, Amanah kini lebih selesa untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH) bagi melawan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti selain bertekad untuk membawa dasar-dasar PH yang telah diterima rakyat pada PRU-14 lalu sebelum tumbang menerusi angkara sebuah pengkhianatan.
"PH bukan ditolak oleh rakyat menerusi PRU tetapi pengkhianatan.
"Fokus kita perkukuhkan kerjasama pembangkang untuk lawan PN supaya PH menang," katanya.
Mengulas mengenai saingan tiga penjuru pada PRU-15 nanti, Khalid berkata, PH sudah bersedia sebagaimana yang berlaku pada PRU-14 lalu.
Sinar Harian 7 April lalu melaporkan satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar didedahkan di media sosial.
Video tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Bersatu.
Bagaimanapun, dalam video berdurasi 4 minit 17 saat menerusi akaun Facebook Insider Malaysia itu, turut kedengaran suara dipercayai mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO itu menerusi panggilan telefon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!