Penanda aras persediaan Malaysian Tigers
AKSI persahabatan menentang Great Britain dan Jepun di Bukit Jalil pada 17 hingga 24 April ini akan dijadikan kayu pengukur kepada Malaysian Tigers bagi menghadapi saingan Trofi Juara-Juara Asia dan Piala Asia pada Oktober.
Pengendali skuad negara, Arul Selvaraj berkata, perlawanan itu cukup penting bagi menilai prestasi pasukannya selepas kali terakhir beraksi dalam perlawanan antarabangsa penghujung 2019.
"Semua sedia maklum pemain baru menamatkan saingan Liga Hoki Malaysia 2021 (MHL) dan kami masih belum dapat membuat latihan fizikal, menguji sebarang taktikal serta latihan pukulan sudut penalti.
"Pemain boleh menggunakan peluang beraksi dalam perlawanan persahabatan itu untuk mengekspresikan diri mereka, selepas berusaha keras untuk pasukan termasuk mempraktikkan sikap mengambil tanggungjawab, kepimpinan dan juga konsep bermain hoki," katanya dalam satu kenyataan
Menurut Arul, aksi pada bulan Ramadan bukan penghalang untuk menerima kunjungan daripada dua pasukan yang akan membuat penampilan di Sukan Olimpik Tokyo itu selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kesihatan.
"Mengatur perlawanan pada bulan Ramadan bukan sesuatu yang mudah, tetapi ini adalah satu ujian yang cukup baik untuk pemain, terutamanya dari segi persediaan mental kerana fokus utama saya pada pasukan adalah untuk memperkasakan mereka dan bermain dengan maruah," katanya.
Menjelang aksi persahabatan itu, Arul akan mempertaruhkan 22 pemain yang dipilih dan senarai yang terpilih akan diumumkan dalam masa terdekat.
Perlawanan persahabatan itu akan dijalankan mengikut konsep gelembung sukan dan sama seperti dilakukan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ketika menganjurkan saingan MHL 2021 baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!