Peguam paksi keadilan

A
A
A

KEKELIRUAN ini timbul disebabkan ketidakfahaman fungsi peguam itu sendiri. Tidak keterlaluan saya katakan, ia juga hasil sikap menyebelahi satu pihak dan mengherdik pihak berlawanan termasuk peguam, sedangkan semua pihak berhak diwakili oleh peguam masing-masing.

Prosiding mahkamah bukanlah suatu proses yang mudah difahami oleh orang awam. Ia melibatkan pelbagai prosedur, cara keterangan dan pembuktian serta perundangan yang agak kompleks.

Peguam sebagai pegawai mahkamah mempunyai peranan besar dalam menegakkan keadilan. Bukan sahaja peranan peguam di dalam mahkamah membantu anak guam mereka tetapi secara umumnya di luar mahkamah juga peguam mempunyai peranan sangat besar khususnya memandu masyarakat mendapatkan keadilan.

Mungkin ada yang melihat kelunakan hidup dan kemewahan sesetengah peguam sebagai parameter dan fokus kepada ketidakpuasan hati tersebut, walhal kelunakan dan kemewahan itu bukanlah datang bergolek tetapi dimulai dengan usaha keras sejak sebelum diterima masuk belajar di sekolah undang-undang lagi.

Profesion peguam berpaksi kepada minat, kesungguhan dan ketekunan serta kecintaan dalam bidang itu sendiri. Beberapa kualiti seperti berintegriti, bersabar, suka kepada ilmu dan bersungguh-sungguh menjadikan peguam sebagai salah satu alat kepada mendapat keadilan.

Saya tidak mengatakan profesion lain boleh dibuat sambil lewa tetapi seorang peguam tidak akan berjaya jika tidak mempunyai kualiti kerja yang tinggi. Kesemua profesion yang bersifat profesional seperti peguam menagih kesungguhan dan ketekunan.

Tanggungjawab seorang peguam sebenarnya sangatlah besar. Bermula dengan tanggungjawab kepada ALLAH SWT bagi peguam beragama Islam, seorang peguam juga menggalas beban tanggungjawab kepada mahkamah.

Peguam tidak boleh menyalah arah mahkamah, menipu atau merekayasa perkara tidak wujud. Begitu juga dengan tanggungjawab kepada anak guam dan masyarakat sekeliling termasuk firma guaman tempat beliau bekerja.

Artikel Berkaitan:

Tanggungjawab peguam yang jarang diperkatakan pula adalah kepada peguam dan pihak lawan. Tanggungjawab sebegini jarang dipikul di bahu profesion yang lain kerana seorang peguam mesti menghormati peguam dan pihak lawan.

Dengan cara sebegini keadilan dapat dilaksanakan kepada pihak-pihak yang berguam di mahkamah. Piawaian tanggungjawab juga sangatlah tinggi sehinggakan peguam berisiko disaman anak guam mereka jika berlaku pengabaian tanggungjawab.

Itulah sebabnya peguam menghabiskan puluhan ribu ringgit semata-mata untuk membayar premium insurans indemniti profesional bagi menanggung rugi anak guam dan lain-lain jika berlaku kecuaian.

Beban

Begitulah beratnya beban ditanggung peguam. Bukan sahaja di dalam mahkamah tetapi juga di luar mahkamah. Latihan diterima lazimnya tidak hanya mengehadkan fungsi mereka di dalam mahkamah tetapi hampir di setiap tempat dan masa.

Itulah sebabnya peguam lazim diintai masyarakat untuk memimpin mereka, malah ada juga dilantik menjadi ketua walaupun bukan dalam bidang perundangan.

Kecemerlangan seorang peguam pula bukan diukur sekadar memenangi kes sahaja tetapi lebih penting adalah memberikan hak kepada yang berhak. Memang lumrah ada kes yang kita menang dan ada yang kalah kerana undang-undang dan fakta dipersembahkan di mahkamah diadili oleh pihak ketiga yang neutral iaitu hakim.

Saya sendiri beberapa hari lalu telah menyelesaikan satu kes berkaitan hak jagaan anak yang telah berlangsung lebih setahun secara mediasi melalui persetujuan bersama.

Ia membawa kegembiraan kepada kedua-dua belah pihak, selain dapat memastikan anak yang menjadi rebutan itu dipertahan kebajikannya. Tanpa peguam, kes tersebut mungkin masih belum dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Hakikatnya, bukan semua orang sesuai menjadi peguam. Ia terbukti apabila lebih ramai graduan undang-undang yang tidak menjadi peguam, berbanding dengan mereka yang menceburi bidang ini.

Ramai juga beralih profesion setelah beberapa tahun beramal sebagai peguam. Namun, penat lelah mereka belajar di sekolah undang-undang masih berguna untuk kehidupan seharian dan apa juga bidang baharu yang mereka ceburi.

Peranan peguam sangat besar sama ada di dalam atau di luar mahkamah.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!