Pantun puncak budi bahasa

Gambar kecil dari kiri: Rahman Shaari, Ahmad Darmawi, Muhammad Haji Salleh
Gambar kecil dari kiri: Rahman Shaari, Ahmad Darmawi, Muhammad Haji Salleh
A
A
A

BERMULA daripada cakap-cakap biasa dan lontaran idea untuk melanjutkan kolaboratif negara serumpun, gagasan idea Salmah Writing Creative dari Riau, Indonesia telah disambut baik oleh Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) untuk mengadakan webinar berintikan puisi tradisional ini.

Hasilnya, pada 3 April lalu telah diadakan Webinar Pantun Puncak Budi dan Sastera yang melibatkan beberapa negara serumpun iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.

Selain Salmah Writing Creative dan Persatuan Penyair Malaysia, acara ini turut didokong beberapa penggiat kesenian dan kesusasteraan lain iaitu Komuniti Menulis Malaysia (KISMy) serta Dewan Kesenian Riau, Komunitas Seni Rumah Sunting, dan Kelas Menulis Daring yang mewakili negara tetangga, Indonesia.

Webinar ini menampilkan dua tokoh pantun dan kepenyairan selaku panel pembicara. Profesor Datuk Rahman Shaari mewakili negara Malaysia dan Dr SPN Ahmad Darmawi mewakili Indonesia.

Rahman Shaari mungkin lebih dikenali khalayak sebagai tokoh kepenyairan yang lebih fokus kepada bidang sajak dan seni persembahan pentas, namun beliau telah sekian lama bergiat dalam bidang pantun.

Ada juga sajak-sajaknya yang dibina berasaskan genre pantun. Beberapa kajian juga telah beliau lakukan berkaitan pantun. Artikel beliau berjudul Estetika Pantun telah memenangi Hadiah Esei Sastera Utusan pada tahun 2015.

Rata-rata peserta yang mengikuti acara ini melahirkan maklum balas positif dan meminta agar perlu ada lanjutan seterusnya sebagai kesinambungan dan tidak terhenti setakat siri pertama sahaja.

Pandangan-pandangan sebegini sewajarnya diraikan kerana pantun merupakan warisan Melayu yang telah hidup beratus-ratus tahun lamanya berbanding genre-genre puisi lain seperti syair dan sajak yang dikatakan berasal dari negara Arab. Malah, pantun juga telah diisytiharkan sebagai warisan kebudayaan negara tidak ketara oleh UNESCO pada 17 Disember 2020.

Artikel Berkaitan:

Darah daging

Memetik kata-kata Dr SPN Ahmad Darmawi ketika diminta membuat rumusan oleh moderator. Beliau berpandangan bahawa agak sukar untuk membuat kesimpulan apabila membicarakan soal pantun kerana perbicaraan berkaitan mauduk pantun tidak seharusnya berhenti di sini.

Ia harus dibicarakan dari masa ke masa dan membiarkan pantun terus hidup dalam persekitaran masyarakat. Bukan sekadar hidup tetapi menjadi darah daging dalam kehidupan harian masyarakat.

Lontaran pandangan sebegini sendiri sudah mencerminkan betapa penting dan besarnya peranan pantun dalam kitaran kehidupan.

Pantun yang dibina bukan sekadar melontarkan rentak rima berangkap dan mencari kesamaan antara pembayang dan makna, lebih daripada itu pantun mempunyai keterampilan falsafah hidup yang menunjangi jati diri bangsa Melayu sebagai bangsa berbudi dan berbahasa.

Pemilihan kata dan diksi pantun tidak diambil semberono dan samba-lewa sebaliknya perlu mempunyai perkaitan dan logikal kewarasan akal yang menterjemahkan kebijaksanaan pemikiran penuturnya.

Penyataan itu disokong oleh pandangan Rahman Shaari yang mengatakan bahawa pantun memang perlu dibicarakan. Bicara kali ini telah membongkar sebahagian daripada kelebihan dan kehebatan pantun. Perlu dibicarakan lagi, bersiri kerana pantun memuatkan segi-segi lain yang belum dicungkil.

Tidak ada genre lain yang lebih popular daripada pantun, itu semua tahu. Namun, kekuatan pantun-pantun yang merentasi dekad seperti Pulau Pandan, pisang emas, tinggi-tinggi matahari dan banyak lagi perlu diserlahkan dari masa ke masa.

Pendekatan estetika pantun telah diperkenalkan dan dibincangkan oleh Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh (2000) dalam bukunya Puitika Sastera Melayu.

Estetika jelas menjadi sebahagian daripada pemikiran kesenian manusia Melayu yang diungkap dalam karya yang berbentuk prosa seperti hikayat mahupun karya yang berbentuk puitis seperti pantun yang menggambarkan keindahan alam yang luas dan cantik.

Keindahan itu dicari kerana berupaya membawa khalayak kepada satu tahap nikmat yang tinggi dan bayangan luar biasa yang hanya terdapat dalam karya sastera. Melalui karya yang indah, khalayak diberikan pengalaman yang lebih cantik dan halus daripada pengalaman seharian yang dikenali sebagai pengalaman sastera.

Pengalaman

Pelbagai pengalaman boleh diungkap dalam karya sastera terutama pantun diperoleh daripada alam hasil pemerhatian yang tekun dan teliti sebagai penghuni alam.

Perkara-perkara yang berlaku dalam persekitaran alam seperti pusingan waktu, perjalanan usia dan pantai yang berubah dikutip sebagai cermin makna tabiat alam raya yang dikaitkan dengan keindahan manusia.

Unsur-unsur yang diperhatikan dan dikutip inilah dijadikan sebagai nilai dalam kehidupan sosial masyarakat, seterusnya dipanjangkan kepada estetikanya dalam pantun.

Muhammad Haji Salleh telah memperkenalkan enam prinsip dalam estetika pantun, iaitu ‘dunia luas yang dipadatkan’, ‘dunia berjodoh’, ‘kiasan dan saranan’, ‘muzik seiring kata’, ‘sesuai dan patut’ serta ‘sama ukuran’.

Persoalan budi dalam masyarakat Melayu terbentuk dalam berbagai-bagai aspek kehidupan yang terpancar melalui pantun. Pantun menyarankan masyarakat Melayu berbudi agar melahirkan peribadi yang baik dan menjadi masyarakat yang dipandang tinggi dan dimuliakan.

Dalam masyarakat Melayu, seseorang yang mempunyai nilai budi sangat disanjung tinggi. Hal itu kerana budi melambangkan pentingnya ketinggian keperibadian seseorang.

Kerisauan terhadap kelunturan pantun dalam generasi pemula menjadi kebimbangan yang banyak dilontarkan para peserta. Kekhuatiran juga timbul apabila pantun-pantun moden yang dibina generasi baharu tidak lagi mementingkan aspek estetika ini.

Pembayang kata diambil sewenang-wenangnya dan kadang-kadang tidak mempunyai perkaitan langsung dengan maksud yang diungkapkan.

Ketakutan ini sememangnya berasas kerana pantun merupakan warisan tradisi bangsa yang sewajarnya dipertahankan. Kegiatan berasaskan pantun harus sentiasa dihidupkan dan disuburkan. Langkah Dewan Bahasa dan Pustaka yang sering membuat hantaran di media sosial mereka berkaitan pantun sewajarnya dipuji dan dijadikan suri teladan.

Pantun tidak sewajarnya hanya menjadi aksesori menyedapkan bicara kata dalam teks-teks ucapan. Fungsi dan peri penting martabat pantun seharusnya diperluas dan diangkat sebagaimana maruah Melayu yang sentiasa dijulang dan diperjuangkan.

*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!