Taat Melayu yang merugikan
MASIH ada orang sama ada kerana ketaasuban kepada pemimpin atau kejahilan, tidak dapat menerima kenyataan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah didapati bersalah dan dihukum kerana melakukan jenayah.
Mereka masih menyanjung beliau sebagai 'Bossku’ sehingga yang mempunyai diri berasa dirinya masih popular.
Sifat taasub kepada pemimpin tidak sukar untuk kita fahami. Masyarakat masih tebal dengan sifat-sifat fuedalisme yang mewajibkan taat setia kepada pemimpin atau ketua – asalnya kepada raja tetapi sekarang telah menular menjadi budaya politik.
Taat setia membuta tuli kepada pemerintah atau ketua amat berbahaya kerana boleh menyebabkan pengikut buta kepada jenayah dan tuli kepada penganiayaan yang dilakukan pemerintah dan ketua.
Malah, amalan itu menyebabkan masyarakat, khususnya dalam kalangan orang Melayu-Islam menjadi semakin berkasta seperti dimanifestasikan oleh layanan terhadap orang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Menteri, orang kenamaan dan selebriti dibiar atau diberi kelonggaran, manakala rakyat totok dihukum dengan berat dan pantas seolah-olah ada dua kasta iaitu kayangan dan bumi, sedangkan Islam mengukur manusia bukan mengikut status sosial tetapi keimanan.
Walaupun negara kita semakin dewasa dari sudut usia – sudah 63 tahun merdeka – tetapi terdapat keraguan sama ada kita semakin berilmu, bermaruah dan beradab atau sebaliknya.
Adalah satu kutukan dan sumpahan yang sangat dahsyat apabila tokoh ilmuan ulung, Tan Sri Arshad Ayob baru-baru ini berkata, kualiti lebih 2,500 profesor di Malaysia tidak mencapai standard diharapkan.Jika mutu profesor pun boleh dipertikai dan diragui, apa halnya dengan mutu ratusan ribu graduan yang mereka lahirkan setiap tahun?
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, tahun lalu sahaja 300,000 graduan tamat pengajian tinggi. Ditambah pula oleh kemelesetan ekonomi akibat Covid-19, maka tidak hairanlah jika penganggu-ran graduan semakin teruk.
Akhlak
Pemerhatian rambang di pejabat kerajaan, jalan raya, kedai makan, masjid, pusat beli-belah dan taman rekreasi memberi gambaran bahawa tahap budi, akhlak serta keintelektualan masyarakat Malaysia semakin menurun.
Ramai orang muda tidak lagi memberi ucap selamat kepada orang tua, malah mereka menarik kerusi atau mengambil sudu garpu di hadapan orang tua tanpa meminta maaf atau memohon izin.
Gabungan semua itu menjadikan Malaysia semakin hari semakin tidak bermaruah dan tanpa prinsip. Daripada tangkapan dan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, kita boleh mengandaikan betapa korupnya masyarakat hari ini.
Tidak ada hari berlalu tanpa ada Tan Sri, Datuk Seri, Datuk Paduka, Datuk Wira, Datuk Seri Penglima dan segala macam lagi orang diburu dan ditangkap serta dihadapkan ke mahkamah atas tudu-han rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, pengubahan wang haram dan pelbagai jenayah lagi.
Jika dahulu masyarakat diancam oleh jenayah ganas seperti rompak, bunuh dan rogol, sekarang ditambah pula oleh jenayah perdagangan yang menyebabkan semua rakyat jelata menjadi mangsa dan kerajaan kerugian pendapatan berbilion ringgit setiap tahun.
Ramai orang tidak tahu atau tidak sedar bahawa jenayah kolar putih menyebabkan rakyat dan pembayar cukai menanggung beban kewangan sangat besar, harga barang naik dan mutu kerja merosot.
Ambil contoh, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd. Negara menanggung hutang yang besar akibat dua skandal itu dan jenayah kolar putih yang lain.
Di kemuncaknya, hutang 1MDB melebihi RM50 bilion. Sehingga September lalu, bakinya berjumlah RM41.36 bi-lion. Ia belum termasuk hutang SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) berjumlah RM4 bilion yang akan jadi RM9.2 bilion apabila matang.
Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu wajib menilai semula amalan taat setia kepada ketua dan pemerintah jika tidak mahu terus ditipu dan diperalatkan.
Taat setia membuta tuli akan menjadikan mereka hamba kepada sistem yang korup dan memakan mangsa.
Wallahuaklam.
*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!