PN tidak gentar Undi 18
[MUKADIMAH] Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menepis tohmahan yang mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) takut ditolak pengundi muda.
Dalam wawancara Sinar Ahad minggu ini, Wan Ahmad Fayhsal, 34, menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan PN jika undi 18 dilaksanakan kerana dasar-dasar kerajaan ketika ini memang peduli anak muda khususnya berkaitan peluang pekerjaan untuk mereka.
Timbalan menteri termuda dalam barisan Kabinet PN itu mengupas lanjut perkara tersebut di samping isu-isu terkini semasa sesi wawancara bersama Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa; wartawan, Nurul Huda Husain dan Muhammad Amnan Hibrahim serta juruvideo, Afnan Imadi Zainal Ayub di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya baru-baru ini.
SINAR AHAD: Sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, apakah pembaharuan atau kejayaan yang YB telah dicapai?
WAN AHMAD FAYHSAL: Alhamdulillah sejak diberi amanah sebagai timbalan menteri sejak setahun yang lalu, tugas utama saya ialah menyokong penuh dasar-dasar kerajaan dan memastikan apa yang menteri saya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican laksanakan benar-benar sampai kepada pemegang taruh khususnya anak muda, belia, atlet serta mereka yang terlibat dalam sukan secara amnya.
Pada pandangan YB, apakah masalah yang sedang dihadapi oleh golongan muda hari ini?
Masalah utama yang saya nampak ialah masalah dalaman atau karakter. Masalah ini banyak berkisar dengan golongan milenial iaitu anak muda yang lahir pada tahun 2000. Mereka lahir dalam satu suasana yang amat berbeza.
Maksudnya kita ada sejarah, pernah berdepan pelbagai fasa ketika negara diuji dengan ekonomi dan politik yang tidak stabil. Mereka mungkin diuji dengan Covid-19 tapi mereka tidak ada satu pertalian rapat dengan episod berdarah atau gelap seperti 13 Mei.
Mereka lahir dalam satu suasana Malaysia ini dilihat majmuk dan tidak ada lagi keperluan berjuang atas nama bangsa atau agama.
Perkara itu tidak salah kerana itu pun adalah aspirasi kerajaan dan semua rakyat Malaysia, cuma bila kita terputus dengan pertalian sejarah, generasi muda mungkin lemah sedikitlah dari segi identiti politik.
Jadi di peringkat kementerian, kita cuba bantu dari segi pembinaan sahsiah. Kita gunakan program-program yang ada dalam kementerian, kerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk kita bawa agenda pemerkasaan anak muda sesuai dengan acuan tempatan.
Apa pandangan YB tentang isu Undi 18 yang sedang hangat diperkatakan sekarang?
Saya menyokong penuh sebarang usaha membantu anak muda supaya suara mereka sampai ke dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Kalau pun mereka tidak jadi calon sekurang-kurangnya mereka boleh memberi undi kepada ahli politik yang mereka percaya mampu menjuarai hak mereka.
Dalam soal ini kita tidak ada sebarang kompromi. Di KBS kita jelas dari segi pendirian untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar undi 18 tahun dilaksanakan walaupun kita tahu ada isu untuk kita buat daftar automatik.
Jadi, itu kita telah mendesak, di peringkat parti pun sama. Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan Bersatu juga mahu undi 18 diteruskan.
Kita tidak takut dengan undi anak muda kerana kita yakin dengan dasar-dasar kerajaan PN yang memang peduli anak muda khususnya yang melibatkan pekerjaan.
Cuma kita faham kekangan teknikal SPR sebab bukan mudah hendak buat pendaftaran empat juta pengundi baharu menggunakan sistem Jabatan Pendaftaran Negara dan sebagainya.
Pada masa sama di peringkat kementerian, saya diberi amanah dan mandat oleh menteri untuk mengadakan program-program persediaan kendiri anak muda untuk menjadi pengundi yang bijak. Ini kita panggil Program Rukun Negara.
Kajian kami di Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) iaitu badan pemikir belia di bawah KBS mendapati indeks belia Malaysia melibatkan sosialisasi politik menurun, tidak pernah meningkat sejak 2016. Maknanya semakin buruk indeksnya sebab anak muda tidak peduli politik, anak muda tidak mahu bercakap tentang politik, anak muda tidak mahu sertai politik.
Walaupun ramai yang bersuara dalam Twitter, Facebook tetapi jauh di luar sana ramai yang alpa tentang hak-hak mereka.
Jadi, tahun 2021 usaha kerajaan dan juga badan bukan kerajaan (NGO) adalah untuk membantu menyedarkan anak muda ini tentang hak mereka untuk mengundi dan juga memahami bagaimana kita ingin membina negara.
Berdasarkan kajian IYRES itu, adakah kemungkinan bila diberikan hak mengundi, tidak semua dalam kalangan kelompok 18 tahun itu akan mengundi?
Ya. Itu memang antara masalah awal yang kita sedar dulu lagi iaitu semasa saya bersama dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Dalam pertemuan kami dengan parti-parti politik Pas, UMNO memang disuarakan isu pendaftaran automatik sebab kalau manual, tidak ramai budak muda yang akan pergi daftar khususnya anak muda Melayu.
Bila kita buat automatik itu yang melayakkan mereka, tapi belum tentu mereka akan keluar mengundi. Jadi inilah yang kita hendak tanamkan kefahaman kerana tanpa kefahaman dan ilmu, anak muda ini tidak akan keluar mengundi.
Sebab itulah sekolah politik ini penting. Bukan kita hendak doktrin tentang parti, bukan tapi tentang kenegaraan dan tujuan pilihan raya diadakan, bagaimana sistem demokrasi berfungsi dan bagaimana dasar dibuat.
Sekarang ini saya lihat anak muda melihat ahli politik itu tugasnya seperti Ebit Lew. Beri bantuan itu bukan kerja orang politik, sebenarnya itu kerja badan-badan kebajikan.
Kerja orang politik yang paling utama ialah membuat dasar dan undang-undang. Ini yang anak muda mungkin kurang maklum sebab persepsi umum dalam media sosial ialah orang politik mesti beri bantuan.
Apakah perasaan YB apabila UMNO menyatakan hasrat untuk tidak bersama Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15?
Sudah tentu saya amat kecewa dan sedih kerana dalam banyak siri temu bual saya dengan media, saya konsisten mahukan sebuah kerajaan yang stabil ditegakkan selepas PRU15. Tidak boleh ada pertembungan tiga penjuru. Formulanya itu sahaja.
Kenapa kita hendak buat pilihan raya? Sebab kita hendak selesaikan masalah tidak cukup jumlah majoriti yang stabil. Bila tidak ada jumlah yang stabil, kerajaan sampai bila-bila akan diganggu-gugat oleh pembangkang seperti yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jadi bila UMNO buat begitu, kita rasa kecewa sebab pasti akan berlaku pertembungan tiga penjuru. UMNO sudah buat keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu medan tertinggi untuk membuat dasar parti. Kita kesal tapi kita kena hormat hak demokrasi mana-mana parti politik.
Pada pandangan YB adakah Bersatu ini satu ancaman kepada UMNO atau ia sebenarnya sekutu kuat UMNO?
Bersatu bukan ancaman kerana kita adalah parti paling minoriti dalam ketiga-tiga parti Melayu dalam kerajaan PN di Semenanjung sekarang. Kalau itu dilihat sebagai ancaman, tidak tepat kerana Bersatu tidak boleh tubuh kerajaan sendiri.
Kita perlu berpakat dengan Pas, STAR, SUPP, dan UMNO untuk tubuhkan. Tanpa sokongan setiap satu daripada mereka, tidak mungkin Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.
Soalnya sekarang kalau dulu beri sokongan, kenapa sekarang tidak boleh beri sokongan?
Apa yang sesetengah pemimpin UMNO khususnya presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak puas hati? Ini yang menjadi tanda tanya kami. Apa sebenarnya yang menyebabkan kami dipandang begitu nista oleh beberapa pimpinan UMNO?
Pemilihan UMNO sudah dekat, jadi kita tunggu dan lihat apa langkah seterusnya pimpinan UMNO. Saya yakin dalam UMNO masih ada pemimpin yang jernih pemikirannya, yang mahu mengutamakan rakyat melebihi kepentingan politik.
Apakah senjata PN untuk menghadapi PRU15?
Kita akan jelaskan kepada rakyat, kepada anak muda yang kerajaan ini adalah kerajaan rakyat. Kerajaan ini tidak mahu mencemar keadaan semasa dengan politik-politik sempit.
Amanahnya menjaga keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan semuanya kita dapat lihat tertumpu kepada sosok pimpinan utama kami iaitu Tan Sri Muhyiddin, itu tidak dapat dinafikan sama sekali.Dalam semua undian yang dibuat oleh badan kajian massa, Tan Sri Muhyiddin adalah pilihan pertama untuk menjadi perdana menteri selepas PRU15. Dari segi itu kami di sayap pemuda menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan kami mencontohi beliau kurangkan politik sempit, lebihkan khidmat kepada rakyat, itulah Armada.
Ada pihak mengatakan Bersatu terpaksa bergantung dengan Pas kerana tidak ada jentera akar umbi yang kuat. Apa komen YB?
Saya rasa itu tidak tepat kerana Pas juga saling bergantung dengan kami di negeri-negeri yang kita tahu Pas tidak ada kekuatan tradisi khususnya di pantai barat di mana Bersatu adalah kekuatan yang Pas harapkan juga.
Di Johor dan malah di Sabah pun Pas bukan pemain politik utama berbanding Bersatu. Tapi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, tanpa sokongan ahli-ahli Pas di Putatan dan Tuaran iaitu kawasan majoriti bumiputera, agak mustahil untuk kerusi-kerusi PN dimenangi oleh kami ketika itu.
Jadi Pas walaupun kecil ia berbisa sebab ahli-ahlinya kita tahu ada satu semangat istiqamah dan wala’ (kesetiaan) yang tinggi kepada kepimpinan.
Harapan YB terhadap kerajaan PN pada masa depan?Harapan saya ialah kita mahukan kestabilan. Tanpa kestabilan, semua orang tidak mampu buat kerja dengan baik. Saya sedih dan hiba melihat Tan Sri Muhyiddin bekerja saban hari nak membantu menyelesaikan masalah rakyat tetapi beliaulah PM yang selalu dan kerap dikacau oleh rakan komponen dalam kerajaan dan pembangkang.
Tidak pernah lagi dalam sejarah kita seorang PM diganggu gugat sebegitu teruk hanya kerana ada kekurangan dari segi jumlah majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Jadi kalau ini kita dapat selesaikan, harapan besar saya ialah kestabilan dapat dikecapi selepas PRU15.
Baru-baru ini ramai melahirkan rasa kecewa selepas laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan gaji permulaan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan tahun lepas didapati lebih rendah berbanding tahun sebelumnya. Apa pandangan YB?
Saya secara jujurnya tidak bersetuju gaji minimum dihadkan kepada lebih kurang RM1,500. Ia tidak selari dengan perubahan kos perbelanjaan hidup pada hari ini. Malah saya runsing juga melihat anak muda kita yang mempunyai ijazah tetapi terpaksa mencari nafkah dalam ekonomi ‘gig’.
Nama pun ekonomi gig, maknanya ia adalah kerja sampingan, bukan kerja tetap. Tetapi disebabkan krisis ekonomi, apa sahaja pekerjaan yang ada kita izinkan anak muda ini terlibat.
Tapi itu bukan penyelesaian. Masa depan Malaysia ialah kita lahirkan lebih ramai teknokrat dan pakar dalam pelbagai bidang. Untuk kita ke arah itu, gaji pun perlu tinggi. Mana ada anak muda nak kerja hal-hal yang canggih dengan gaji RM1,500. Jadi kerajaan sedang melaksanakan dasar-dasar yang akan mengubah asas ekonomi ini.
ANEKDOT
Kenali dunia politik ketika di universiti
Peristiwa penting yang mengubah kehidupan saya adalah ketika saya mula mengenali dunia politik. Di Universiti Teknologi Petronas, saya menggarap idealisme sebagai seorang ahli politik dan juga aktivis. Saya bermula sebagai seorang aktivis, tidak pernah terfikir pun untuk menjadi ahli politik.
Saya ingin berkhidmat kepada rakyat, memperjuangkan isu-isu seperti ketidakadilan ekonomi dan penindasan umat Islam di Palestin.
Semua isu ini membentuk cara saya berpolitik. Pimpinan utama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka semua lahir daripada ranah yang sama seperti saya di universiti. Jadi, itulah saat penting yang mengubah hidup saya sebenarnya, bukan ketika menjadi timbalan menteri.
Kagumi Vladimir Putin, Saidina Umar
Saya cenderung untuk mengidolakan pemimpin-pemimpin yang bersifat ‘strong man’. Saya kagum dengan Vladimir Putin (Presiden Rusia). Saya kagum dengan tokoh-tokoh sejarah seperti Napoleon Bonaparte (Maharaja Perancis). Kalau dalam sejarah umat Islam, Saidina Umar bin Al-Khattab yang mempunyai ketegasan dan kecerdasan dalam mentadbir siasah. Di Malaysia, saya nampak Dr Mahathir, beliau mempunyai sifat-sifat seperti itu.
Sering berbasikal pada masa lapang
Saya sekarang banyak berbasikal pada masa lapang. Saya meminati sukan berbasikal kerana sukan itu benar-benar menyihatkan badan dan membuatkan pemikiran rasa lapang. Kita boleh pergi ke tempat-tempat yang kita tidak boleh pergi dengan kenderaan lain. Di Kuala Lumpur banyak tempat yang hanya boleh dicapai sama ada dengan berjalan kaki ataupun naik basikal. Itulah cara saya kurangkan tekanan kerja.
Pada masa sama, saya baru sahaja menimang anak sulung selepas lapan tahun menunggu. Rezeki ALLAH bagi dua. Jadi saya juga banyak luangkan masa bersama anak. Pada masa sama, saya juga seorang pembaca tegar. Setiap malam sebelum tidur saya akan ambil masa untuk membaca.
Jadi saya menghargai perpustakaan saya. Cuma sebagai ahli politik saya tidak boleh bercakap hal-hal teknikal, nanti disalah erti. Itu yang buat orang salah tanggap saya sebagai ‘mat jargon’ dan sebagainya. Ataupun saya bercakap pasal dasar ekonomi cetak wang. Perkara itu kalau dibincang secara ilmiah, tiada masalah. Tapi bila dibincang secara politik, orang salah erti.
INFO
PROFIL
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Umur: 34 tahun
Asal: Selangor
Jawatan:
Timbalan Menteri Belia dan Sukan
Senator Dewan Negara
Ketua Armada Bersatu
Pendidikan:
Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Petronas (UTP)
Sarjana Sastera Geopolitik, Wilayah dan Keselamatan dari King’s College London
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!