Sindiket curi elektrik lombong bitcoin tumpas

Chang Hook (kanan) ketika meninjau keadaan premis yang diserbu pada malam Sabtu.
Chang Hook (kanan) ketika meninjau keadaan premis yang diserbu pada malam Sabtu.
A
A
A

JEMPOL - Sindiket mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin tumpas selepas polis menyerbu lima premis di sekitar Bahau pada malam Sabtu.

Operasi rampasan yang terbesar di daerah Jempol itu diketuai Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook bersama lima pegawai dan 11 anggota polis serta pasukan ‘Special Engagement Against Losses’ (SEAL) TNB.

Menurut Chang Hook, operasi bersepadu pada jam 11.30 malam itu turut merampas 190 unit mesin perlombongan bitcoin dengan nilai keseluruhan RM380,000.

Salah sebuah premis yang diserbu pada malam Sabtu.
Salah sebuah premis yang diserbu pada malam Sabtu.

"Kesemua premis ini dipercayai beroperasi antara dua hingga 12 bulan sehingga menyebabkan TNB mengalami kerugian sebanyak RM216,487.

"Tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti dalangnya sama ada pemilik premis dan penyewa mempunyai kaitan atau sebaliknya," katanya dalam sidang akhbar di salah satu lokasi serbuan di Pusat perniagaan Ara, Bandar IOI di sini pada malam Sabtu.

Mengulas lanjut, Chang Hook berkata, modus operandi sindiket ini menggunakan premis tingkat atas sebagai kegiatan perlombongan bitcoin bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi bekalan elektrik, 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dan Seksyen di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Chang Hook mengingatkan orang ramai terutamanya pemilik premis menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan di kawasan mereka bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!