Polis Selangor siasat semua penyerang Syed Saddiq
KUALA LUMPUR - Polis Selangor sedang mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian serangan terhadap Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas penamaan calon PRK DUN Semenyih, pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan pihaknya telah menerima laporan yang dibuat Syed Saddiq dan kes itu telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
"Laporan itu sedang diteliti polis Kajang dan pihaknya akan mengambil keterangan dari Syed Saddiq untuk tindakan lanjut sebelum tindakan selanjutnya mengikut undang-undang yang ditetapkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq cuba dikasari ketika penamaan calon
Diserang penyokong BN: Syed Saddiq lapor polis
"Selain itu, polis juga akan merujuk kecederaan yang dialami oleh Syed Saddiq kepada pihak hospital yang mendakwa dicekak di bahagian leher oleh seorang individu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Noor Azam berkata, pihaknya sedang giat mengesan semua individu yang dilaporkan melakukan provokasi serta mereka yang dipercayai mencederakan Menteri Belia dan Sukan itu termasuk seorang Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.
Katanya, pihaknya akan meneliti semua aspek termasuk maklumat dari saksi yang berada di lokasi kejadian.
Noor Azam juga meminta mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan lanjut dilakukan.
Terdahulu, Syed Saddiq yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar mendakwa dicaci dan dimaki oleh sekumpulan penyokong pembangkang semasa sedang berjalan ke tempat letak kereta kira-kira jam jam 11.30 pagi tadi.
Kira-kira jam 2 petang, Syed Saddiq hadir ke Balai Polis Sungai Way untuk membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!