Video tular tertidur dalam majlis, Timbalan Menteri mohon maaf
SEREMBAN - Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith memohon maaf kerana tertidur pada satu majlis yang dihadirinya pada Sabtu.
Menurut Pegawai tugas-tugas khasnya, Farahiah Zubir, Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah terlalu keletihan dan kurang sihat.
" Bagaimanapun, bagi memenuhi undangan jemputan beliau menggagahkan diri untuk hadir.
"Alhamdulillah pada majlis ini Datuk telah meluluskan pemasangan pendingin hawa untuk dewan Sekolah Menengah Sains Kuala Pilah. Beliau turut menyumbang untuk membantu pihak sekolah memperoleh bas untuk kegunaan pelajar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Pada Ahad, sebuah video berdurasi lebih 1 minit yang memaparkan Eddin Syazlee tertidur ketika menghadiri Majlis Khatam Al-Quran dan Graduasi Huffaz Kali Ke-5 Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah di Seremban tular di media sosial.
Keadaan itu menyebabkan dua individu yang berada di atas pentas cuba mengejutkan beliau namun gagal sebelum pengawal peribadinya mengejutkan lalu bangun dan meneruskan majlis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!