Operasi memadam kebakaran kontena diteruskan pada hari kelima

Anggota Bomba dan Penyelamat sedang giat memadamkan kebakaran kontena di sebuah kapal kargo di Pelabuhan Klang.
Anggota Bomba dan Penyelamat sedang giat memadamkan kebakaran kontena di sebuah kapal kargo di Pelabuhan Klang.
A
A
A

KLANG - Pasukan Bomba dan Penyelamat meneruskan operasi pemadaman yang memasuki hari kelima pada Ahad membabitkan kebakaran 11 buah kontena dalam sebuah kapal kargo di Pelabuhan Klang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, anggota bomba berjaya membuka lapan kontena bagi memadam kebakaran.

Menurutnya, kebakaran lima kontena berjaya dipadamkan manakala tiga kontena lagi dalam proses pemadaman.

"Tiga yang lain berisi bahan kimia sodium carbonate peroxyhydrate tidak dibuka dan dalam proses penyejukan," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Norazam berkata, seramai 47 anggota dan pegawai Bomba dan Penyelamat terlibat dalam operasi itu.

"Bomba turut dibantu Pasukan Polis Marin, Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya.

Dalam kenyataan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sebelum ini memaklumkan kapal kargo itu terpaksa berpatah balik ke pelabuhan berikutan lapan kontena yang dibawa terbakar.

Kapal kargo sepanjang 260 meter itu berlepas dari pelabuhan untuk ke Cochin, India pada jam 1 pagi, 4 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pada 5 April ejen kapal terbabit memaklumkan terdapat asap keluar dari kontena di dek kapal dan kapten kapal meminta untuk berpatah balik ke pelabuhan.

Kapal itu tiba di Pelabuhan Klang pada 7 pagi, Rabu dan diarahkan berlabuh di Pintu Gedong, jauh daripada kapal lain.

Kapal itu kemudiannya diperiksa sebelum pihak pelabuhan dipanggil untuk memberi bantuan bagi menangani kebakaran terbabit.

LPK memaklumkan, langkah memadamkan kebakaran dimulakan segera pada hari terbabit dengan dengan pemantauan rapat kapten kapal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!