8,500 belia daftar MyVac
KUALA NERUS - Seramai 8,500 belia sudah mendaftar sebagai sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) untuk membantu petugas barisan hadapan menjayakan fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof berkata, sukarelawan MyVac akan ditugaskan di 607 Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di seluruh negara selepas PICK fasa kedua bermula 17 April ini.
Beliau memberitahu, seramai 20 sukarelawan akan ditempatkan di setiap PPV dalam usaha mengurangkan beban petugas barisan hadapan serta melancarkan urusan pemberian vaksin kepada orang awam bagi fasa kedua.
"Jika diikutkan jumlah sukarelawan ini sudah mencukupi namun kita masih lagi membuka permohonan kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun hingga 40 tahun serta sihat tubuh badan.
"Program vaksinasi melibatkan beberapa fasa. Jadi jumlah sukarelawan diperlukan mungkin akan berubah," katanya selepas melawat ke PPV Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak di sini pada Ahad.
MyVac merupakan satu inisiatif dengan hasil kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Belia Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu melancarkan pengurusan pemberian vaksin kepada masyarakat.
MyVac dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 15 Mac lalu.
Menurut Dr Wasitah, antara tugas sukarelawan MyVac ialah melakukan tugas menghubungi senarai penerima vaksin yang layak tetapi tidak berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dan sebagai runner dengan membuat persediaan tempat serta kelengkapan PPV.
"Kita harap sukarelawan MyVac dapat membantu kerajaan dan petugas barisan hadapan melancarkan urusan pergerakan penerima vaksin bagi setiap PPV di seluruh negara dengan lebih sistematik dan teratur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!