PRU15: Amanah sasar 20 kerusi DUN di Perak
IPOH – [DIKEMASKINI] Parti Amanah Negara (Amanah) menyasarkan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, hasrat itu akan dikemukakan kepada rakan komponen Pakatan Harapan (PH) menerusi perbincangan berbincangan bersama yang akan diadakan.
Menurutnya, perbincangan mengenai pembahagian kerusi penting di antara Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bagi mengelak sebarang pertembungan kerusi.
"Selain kerusi sedia ada yang kita menang dan bertanding pada PRU14 lalu, Amanah Perak turut akan meletakkan calon di lapan kerusi DUN yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya lalu.
"Kita akan ambil semula tempat-tempat ini yang ditinggalkan Bersatu dan kita percaya sokongan pengundi pada PH di situ masih kuat," katanya kepada pemberita semasa hadir pada Pelancaran Bengkel Online Business Masterclass Kerjasama Bersama Pusat Khidmat DUN Sungai Rapat di Rapat Jaya Tambahan di sini pada Ahad.
Hadir sama pada program tersebut, Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Pada PRU14, Amanah memenangi enam daripada 12 kerusi DUN yang ditandingi iaitu iaitu Manjoi, Pasir Panjang, Sungai Rapat, Titi Serong, Kamunting dan Behrang.
Sementara itu Mujahid berkata, Amanah kekal berpendirian mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri sekiranya PH memperoleh majoriti membentuk kerajaan pada PRU15 nanti.
Menurutnya, keputusan itu juga berdasarkan persetujuan bersama yang dicapai menerusi Ketetapan Port Dickson selepas pemukiman pimpinan PH di Port Dickson yang berlangsung selama dua hari yang berakhir pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, PH menyatakan Anwar yang juga merupakan pengerusi gabungan itu akan turut mengetuai kempen PRU yang akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN: PRU15: PH namakan Anwar calon PM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!