Perak belum cadang batal bazar Ramadan: Menteri Besar
IPOH - Perak belum bercadang mengikut langkah Kelantan untuk membatalkan bazar Ramadan dan Aidilfitri meskipun daerah Kinta dan Manjung berada dalam kategori zon merah.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diadakan sebelum sesuatu keputusan dibuat.
"Setakat ini kita telah bersetuju untuk memberi peluang kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan.
"Saya perlu dapatkan maklumat dan laporan daripada MKN, kesihatan dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi yang bertanggungjawab PBT," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama Kepimpinan Pertubuhan Peladang Perak di sini pada Ahad.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu membuat pertimbangan sewajarnya dengan melihat pro dan kontra terhadap keputusan yang diambil terutama kepada peniaga.
"Jadi kita tengok balik buruk baiknya, untung ruginya bila kita buat satu keputusan. Kita tengoklah Perak apa pula keadaannya.
"Keputusan tidak dibuat begitu saja melainkan berpuas hati berpuas hati keputusan yang kita buat nanti adalah tepat sama ada keselamatan terjamin atau tidak. Jadi tiada keputusan lagi kena runding dahulu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bazar Ramadan, Aidilfitri, Madinah Ramadan di Kelantan dibatalkan
Kerajaan Kelantan membuat keputusan membatalkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri seluruh negeri pada tahun ini sebagai ikhtiar bagi membendung penularan Covid-19.
Wilayah Sabah dan Sarawak turut mengambil pendekatan sama setelah mengambil kira keadaan semasa pandemik di negeri itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!