Remaja maut terbabas ke dalam terusan
PASIR SALAK - Seorang pembantu pasar malam ditemui maut dalam terusan selepas lebih 29 jam terlibat dalam kemalangan di KM 24 Jalan Bota Kiri - Ulu Dedap, Kampung Gajah di sini pada Ahad.
Mayat Muhammad Syahir Sufi Shamshol Alam, 18, berjaya ditemui pasukan penyelamat kira-kira 300 meter dari lokasi motosikal jenis Yamaha LC miliknya.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai akibat terbabas sendiri dan mangsa mempunyai kesan kecederaan parah di kepala.
"Kemalangan dipercayai berlaku pada Sabtu kira-kira jam 6 pagi ketika mangsa menunggang dari arah Ulu Dedap menuju ke Bota Kiri.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal tersebut dipercayai terbabas ke kiri jalan lalu masuk ke dalam terusan," katanya.
Menurutnya, anggota bomba bersama Balai Polis Kampung Gajah dan penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan kemalangan kira-kira jam 10.40 pagi.
"Mangsa akhirnya berjaya ditemui pada jam 11.45 pagi pada Ahad dalam terusan pada jarak 300 meter dari kawasan kemalangan.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Changkat Melintang dan punca kematian adalah 'unascertained death due to decomposition'," katanya.
Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!