GP Malaysia: Queenie pecah rekod kebangsaan

Queenie Ting bersama Mohamad Ali selepas kejohanan tersebut.
Queenie Ting bersama Mohamad Ali selepas kejohanan tersebut.
A
A
A

PEMENANG pingat gangsa Sukan SEA 2019 di Filipina, Queenie Ting Kung Ni melakar rekod baharu kebangsaan acara lempar cakera wanita dengan lemparan sejauh 48.56 meter (m) pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Ahad.

Ia sekali gus memadam rekod dipegang atlet Johor, Connie Choo Kang Ni dengan catatan 47.91 m yang dilakar pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Catatan 48.56 m itu dilakukan Queenie, 24, pada lemparan terakhir acara itu untuk merangkul pingat emas sementara Connie Choo meraih perak dengan lemparan sejauh 45.53 m dan pingat gangsa menjadi milik atlet Negeri Sembilan, Yap Jen Tzan dengan catatan 44.82 m.

Bagaimanapun, keputusan rasmi rekod baharu kebangsaan itu hanya disahkan juri pertandingan selepas beberapa jam acara itu tamat, menyaksikan Queenie tidak dapat menahan sebak sebaik keputusan itu diumumkan.

“Hari ini seperti ‘roller coaster’ menantikan keputusan rasmi dengan perasaan yang sangat gementar, kejayaan ini amat penting bagi saya dan jurulatih, saya sangat gembira akhirnya dapat pecahkan rekod kebangsaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

“Terima kasih kepada semua yang perjuangkan catatan ini dan menjadikan impian saya menjadi kenyataan, antaranya jurulatih Man (Ketua Jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Mansahar Abdul Jalil),” tambah beliau.

Catatan peribadi terbaik Queenie ialah 46.51 m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019 namun hanya mencatat 45.28m ketika meraih pingat pertamanya pada Sukan SEA 2019.

Sementara itu, Mohamad Ali Hamid yang telah membimbing Queenie sejak dua tahun lalu mengakui anak buahnya layak menikmati kejayaan itu berdasarkan semangat serta prestasi dipamerkan ketika latihan meskipun dalam tempoh sukar dihimpit impak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, seperti atlet lain, Queenie turut mengalami kesukaran menjalani latihan selain berdepan ujian dari segi kekuatan mental.

“Kita ada halangan macam saya berada di luar pagar manakala atlet kuarantin di sini, jadi kami berjumpa tiga kali seminggu, latihan menerusi (panggilan) video dan WhatsApp. "Kami cuba untuk kekal kuat, elakkan kecederaan dan keputusan ini sangat penting sebagai motivasi untuk kami meneruskan apa yang ingin dicapai,” katanya.

Kejohanan GP Malaysia berlangsung selama dua hari bermula semalam dan merupakan kejohanan kompetitif pertama disertai sebahagian besar atlet olahraga kebangsaan sejak penularan pandemik Covid-19 awal tahun lalu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!