Pengusaha rumah inap didakwa beri suapan RM3,000
JOHOR BAHRU - Seorang pengusaha homestay mengaku tidak bersalah memberi suapan RM3,000 kepada seorang anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya membatalkan kompaun tahun lalu.
Tertuduh, Wong Xin Wei, 30 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, Xin Wei didakwa memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada seorang Pembantu Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK), supaya membatalkan kompaun bagi kesalahan mempamer iklan tanpa lesen MPK.
Selain itu, suapan berkenaan juga bagi membatalkan satu lagi kompaun bagi kesalahan menjadikan tanah pertanian sebagai premis rumah inap.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Penguatkuasaan dan Keselamatan MPK, kira-kira jam 3.30 petang pada 13 Julai tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,0000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya, memerintahkan Xin Wei dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri pada setiap bulan di pejabat SPRM Kluang.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 April ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!