Pesilat negara pulang dari Timur Tengah positif Covid-19
SEORANG daripada 38 pesilat dan pegawai Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) yang balik dari lawatan ke Asia Tengah baru-baru ini bagi menguji peraturan baharu yang bakal digunakan pada Sukan SEA 2021 disahkan dijangkiti Covid-19.
Atlet yang identitinya tidak didedahkan itu kini berada di Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang sejak Jumaat lepas selepas tiba di tanah air pada 4 April lalu dari Kyrgyzstan.
Susulan itu, Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, tempoh proses kuarantin wajib keseluruhan 37 baki rombongan itu terpaksa dilanjutkan sehingga menerima keputusan saringan Covid-19 (PCR) yang akan diketahui selewat-lewatnya esok.
“Kesemua 38 mereka negatif ujian PCR sebelum berlepas pulang ke Malaysia. Ada kemungkinan dia (pesilat) dijangkiti dalam perjalanan pulang daripada Kyrgyzstan, mungkin kena di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai atau di Kyrgyzstan.
"Tapi saya rasa agak terkilan kerana dia (pesilat) tidak menunjukkan sebarang simptom, dia dalam keadaan yang baik, tidak demam dan ada selera makan,” katanya pada sidang media Persidangan Tahunan Pesaka di sini pada Ahad.
Dalam siri lawatan itu, keseluruhan 38 pesilat dan pegawai telah menguji peraturan baharu yang cenderung kepada konsep seni pertahankan diri campuran (MMA), menerusi latihan dan pertandingan selama 14 hari di Uzbekistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan.
Perubahan peraturan itu secara umumnya mengizinkan pertandingan dijalankan secara berterusan selama antara dua hingga tiga minit, berbanding peraturan lama yang boleh dihentikan apabila berlaku pelanggaran berat antara pesilat.
Dalam pada itu, Megat Zulkarnain menzahirkan rasa terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) atas keprihatinan diberikan dalam mengendalikan kes jangkitan Covid-19 melibatkan pesilat negara itu.
Katanya, Pesaka akan memberikan kerjasama dari masa ke masa dengan agensi penguatkuasaan terlibat bagi memastikan tidak timbul kluster melibatkan kem pesilat negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!