'Red Giants mampu ledak lebih banyak gol'

Pemain Red Giants meraikan jaringan Olusegun ketika berdepan Perak di Stadium Petaling Jaya. - Foto FB Selangor FC
Pemain Red Giants meraikan jaringan Olusegun ketika berdepan Perak di Stadium Petaling Jaya. - Foto FB Selangor FC
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Karsten Neitzel menyifatkan The Red Giants mampu menjaringkan lebih banyak gol ketika berdepan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Menurut Neitzel, pemain Red Giants mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan sehingga berjaya mencipta banyak peluang gol, namun hanya mampu menjaringkan tiga gol pada perlawanan berkenaan.

“Kita sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan ini selain menang tiga gol tanpa balas tetapi akhirnya kita dibolosi juga.

“Namun secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan cara kita bermain apabila pemain pertahanan juga turut naik bagi membantu jentera serangan.

“Saya mengharapkan corak permainan seperti ini dapat diteruskan pada perlawanan akan datang,” katanya setelah tamat perlawanan yang menyaksikan Red Giants mengatasi The Bos Gaurus 3-1.

Pada aksi itu, peledak import Selangor, Ifedayo Olusegun membuktikan sentuhan berbisanya apabila meledak hatrik buat tuan rumah manakala gol pelawat dijaringkan Farid Khazali.

Dalam pada itu, Neitzel mengakui berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan oleh pemain tengah, Manuel Konrad sepanjang perlawanan tersebut.

Katanya, pemain berkenaan beraksi dengan baik mengemudi jentera tengah Red Giants sekali gus memberikan petanda yang baik untuk perlawanan akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah kali kedua kita turunkan Konrad dalam perlawanan penuh dan kali ini dia diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Setakat ini, dia beraksi baik dan diharapkan prestasinya berterusan selepas ini bagi membantu pasukan mencatatkan lebih banyak kejayaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!