Sultan Johor mahu Salahuddin mengadap
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu individu yang juga menteri didakwa menyampaikan ceramah dalam sebuah masjid di negeri ini segera mengadapnya.
Tuanku sultan yang murka terhadap tindakan tersebut turut menuntut individu berkenaan membuat permohonan maaf secara bersurat.
Baginda dengan tegas mengingatkan telah menjadi peraturan dalam negeri Johor tidak dibenarkan sesiapa berceramah terutama di dalam masjid atau kawasan sekitarnya, kecuali telah mendapat tauliah dan kebenaran yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dahulu lagi. Ini merupakan tradisi negeri Johor.
ARTIKEL BERKAITAN: Salahuddin nafi beri ceramah politik dalam masjid
“Masjid adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecahbelahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titah baginda menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, pihaknya mahu semua Pengerusi dan AJK masjid sentiasa mematuhi peraturan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Johor dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi.
“Ini adalah amaran terakhir, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya harap pemimpin tersebut sedar akan kesilapan yang telah dibuat dan segera minta maaf.
“Masjid sebagai rumah ALLAH dan tempat untuk beribadah hendaklah dipelihara kesuciannya oleh semua umat Islam,” titahnya.
Difahamkan, titah tuanku tersebut dikeluarkan susulan pertemuan baginda bersama Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadot dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad hari ini.
Terdahulu, tular satu video rakaman berdurasi 45 saat yang memaparkan seorang lelaki didakwa Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub sedang menyampaikan ceramah berbaur politik sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid dalam bandar raya ini.
Malah video itu turut dikongsi seorang pengguna di laman Twitter rasmi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memohon putera raja tersebut menegur tindakan dilakukan menteri berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!