Bina semula Pelabuhan Beirut
BEIRUT - Pelabuhan Beirut dan kawasan sekitar ibu negara Lubnan yang musnah akibat letupan dahsyat pada 4 Ogos lalu bakal berwajah baharu.
Delegasi Jerman pada Jumaat melancarkan projek pembinaan semula di lokasi tersebut yang dijangka menelan kos berbilion dolar.
Beberapa pihak bagaimanapun ragu-ragu dengan projek bercita-cita tinggi itu berikutan pemimpin di Lubnan dikatakan tidak menyediakan syarat paling asas untuk pelaburan asing terhadap pelan pembangunan berkenaan yang dikemukakan oleh dua firma dari Berlin.
Pengarah Urusan Colliers Germany, Herman Schnell turut menyenaraikan perumahan mampu milik untuk keluarga, ruang hijau dan infrastruktur yang baik di kawasan tersebut yang musnah teruk akibat letupan bekalan 2,750 tan ammonium nitrat yang meragut lebih 200 nyawa.
Ia membabitkan rancangan pembinaan ‘taman pusat’ di samping warisan seni bina yang dipulihkan di bawah projek yang akan membuka 50,000 peluang pekerjaan dan menghasilkan keuntungan bernilai berbilion dolar.
Firma terbabit melihat projek itu sebagai ‘peluang untuk bandar baharu’ yang turut menggunakan contoh pelabuhan yang berjaya dibangunkan semula di bandar seperti Cape Town, Bilbao dan Vienna.
Sementara itu, Lars Greiner of Hamburg Port Consulting (HPC) berkata, konsep projek tersebut akan membangunkan kawasan terbabit menjadi pelabuhan canggih bertaraf dunia, lebih automatik, menjimatkan kos dan untuk pertumbuhan perdagangan serantau.
Pandangan skeptikal
Inisiatif itu merupakan pelan komprehensif dan berskala besar pertama yang diumumkan selepas kira-kira lapan bulan tragedi letupan bukan nuklear terbesar di dunia itu malah turut disokong Jerman.
Syarikat antarabangsa lain juga sedang mengusahakan cadangan alternatif terhadap projek pembangunan semula pelabuhan Beirut tersebut.
Syarikat gergasi pengangkutan Perancis, CMA CGM yang mengetuai operasi pembersihan kontena di Lubnan turut mengemukakan pelan induk mereka sendiri pada September lalu.
“Projek besar hanya boleh direalisasikan jika ada akauntabiliti dan ketelusan,” kata Duta Jerman, Andreas Kindl.
Aktivis antikerajaan dan ahli ekonomi, Jad Chaaban turut menzahirkan keraguan terhadap projek pembinaan semula pelabuhan itu.
“Saya tidak lihat projek ini akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat. Mana ada negara yang sanggup melabur di negara lain yang sedang bergolak dan gagal melunaskan hutang mereka,” sindirnya.
Pasukan Jerman itu juga mengakui skandal rasuah yang telah menentukan keadaan politik di Lubnan selama beberapa dekad adalah halangan kepada kejayaan projek tersebut.
“Pelan yang dicadangkan itu adalah sangat hebat. Apa yang perlu kita lakukan adalah untuk memastikan ia telus. Ia bukan satu mimpi, namun satu visi yang jelas.
“Usaha pembangunan semula itu tidak akan berjaya, jika tiada ketelusan dan beberapa prasyarat tidak dipenuhi,” kata Pengarah Urusan HPC, Suheil Mahayni.
Sebelum ini, Lubnan pernah memohon bantuan antarabangsa untuk membina semula Pelabuhan Beirut, namun kebanyakan negara Eropah dan pertubuhan global skeptikal terhadap usaha pemulihan di kemudahan penting tersebut.
Letupan itu secara tidak sengaja telah mendedahkan ketidakcekapan, salah urus dan skandal rasuah yang berleluasa di pelabuhan berkenaan yang dipercayai antara kemungkinan penyebab berlakunya kejadian tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!