Realiti di bawah bukan omong kosong
SATU perkara tentang parti politik yang dah hidup berzaman seperti UMNO misalnya ialah ia sebuah parti yang berstruktur.
Ertinya, ia adalah sebuah parti yang tersusun, punya jentera dan gerakan.
Ini diperhatikan sendiri penulis dalam banyak keadaan dan majlis. Ia punya keanggotaan yang setia dan ampuh.
Ujian sebenar UMNO ialah apabila ia kehilangan kuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.
Kehilangan kuasa itu menyaksikan mereka ‘hidup’ dalam penuh penyeksaan hinggakan hendak sewa dewan orang ramai pun menjadi susah dan tidak dilayan.
Di peringkat akar umbi, ini memberi satu pengajaran yang amat pahit dan berguna. Kuasa sekali dah hilang memang sukar lagi menyukarkan.
Lebih-lebih lagi dalam kes UMNO, mereka tidak pernah kehilangan kuasa sejak negara mencapai kemerdekaan. Inilah pertama kali.
“Jika ditanya kepada kami ahli-ahli di cawangan, kekalahan pada PRU14 adalah tersangat pahit...satu realiti yang sukar ditelan,” ujar seorang pemimpin cawangan di Iskandar Puteri yang dahulunya dikenali sebagai Bahagian Gelang Patah.
Iskandar Puteri dan lain-lain bahagian di seluruh Johor pada Sabtu dan Ahad baru-baru ini selesai mengadakan simulasi pilihan raya atau pilihan raya olok-olok.
Ia dijalankan dalam situasi yang seakan-akan benar - melibatkan kesemua sayap parti dan jentera parti di cawangan dan bahagian.
Ada calon yang bertanding dua penjuru dan tiga penjuru untuk melihat sejauh manakah parti itu mampu menghadapi lawan dalam semua peringkat dan keadaan.
Dan ia juga menyaksikan simulasi pertandingan yang melibatkan dewan undangan negeri dan Parlimen.
Bentuk perjalanan kempen dan gerakan jentera parti diperhatikan.
Kesemuanya kemudian dianalisis dan data daripada dapatan hasil simulasi itu akan dibawa ke Badan Perhubungan Negeri untuk dijadikan panduan serta susulan terutamanya dalam mengenal pasti kelebihan lawan dan kekurangan sendiri.
Inilah kelebihan UMNO kerana ia sebuah parti yang berstruktur dan memiliki jentera yang dedikasi dan setia dalam apa jua keadaan sekali pun.
“Yang belot dan yang tak setia semuanya dah lompat ke parti lain. Yang kekal berada di dalam parti ketika waktu tidak ada kuasa inilah yang benar-benar ahli UMNO tulen.
“Cukuplah tewas sekali. Kami tidak rela ditewaskan lagi...,” ujar seorang bendahari UMNO bahagian ketika ditemui.
Sesuatu yang nyata hasil pemerhatian daripada simulasi tersebut ialah, mereka di bawah yang menggerakkan UMNO adalah mereka yang benar-benar menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya minta maaf bang...yang dah melompat ke Bersatu itu adalah kawan saya juga tapi saya tak boleh terima perbuatan dia melompat parti selepas PRU14 kerana yang dibawa bersama-sama dia adalah kerusi UMNO,” kata seorang ketua pemuda cawangan.
“Dia boleh pergi tapi kerusi itu serah balik kepada UMNO,” katanya selepas selesai pilihan raya olok-olok itu pada Ahad.
Dan katanya, hasil simulasi ini, mereka yakin akan tawan semula kerusi-kerusi UMNO yang kini di tangan Bersatu pada pilihan raya akan datang.
“Sebab itulah kami adakan latihan ini. Untuk menguji sejauh manakah kebersediaan cawangan dan bahagian berhadapan dengan Bersatu pada PRU15 nanti,” kata seorang ahli jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian.
Dia menyebut Bersatu. Bukan Pas bukan PKR dan bukan Amanah.
Maka yang gembar-gembur selama ini di peringkat akar umbi UMNO menolak Bersatu, kelihatan bagaikan satu realiti bukan omong-omong kosong lagi.
*Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!