'Pemain liga kampung pun tak tolak pengadil'

Khalid Ali
Khalid Ali
A
A
A

BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Ali mengakui kecewa dengan sikap pemain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang semakin besar kepala dan tidak hormat kepada pengadil perlawanan.

Menurut Khalid, tindakan tersebut tidak seharusnya dilakukan apatah lagi pemain sudah mencapai tahap profesional dan perlu bijak mengawal emosi di atas padang.

"Semua pemain yang beraksi dalam Liga-M kita ini bukan lagi pemain amatur sebaliknya dah jadi profesional. Mereka kena ada etika sebagai seorang pemain dan tahu menjaga emosi.

"Lagipun, ini periuk nasi dan sumber pendapatan mereka. Apabila buat tindakan sia-sia macam ini ia akan memberikan kesan kepada karier mereka apatah lagi sekarang ini semua orang boleh melihat setiap tindakan yang mereka lakukan.

"Pemain-pemain ini kena faham, mungkin keputusan pengadil tidak memihak mereka tetapi tidak bolehlah buat keputusan menolak pengadil dan sebagainya.

"Mereka perlu tunjukkan hormat kepada pengadil dan perlu hormat diri mereka sendiri kerana mereka sebagai pemain profesional. Pemain liga kampung pun tak ada buat tindakan macam ini (tolak pengadil).

"Saya duduk juga dengan pengadil bersembang dengan mereka, saya tahu mereka tertekan dengan perkara sebegini. Lagipun tugas pengadil ini berat, mereka kena buat keputusan dalam masa yang singkat dalam satu-satu perlawanan," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sukan Sinar pada Ahad.
Laporan Sukan Sinar pada Ahad.

Terdahulu, isu tolak pengadil kembali hangat dalam saingan Liga-M selepas pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin ditolak pemain KDA FC, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam dalam aksi Liga Super Kedah menentang Terengganu FC pada Jumaat.

Ia mengulangi insiden yang lebih kurang sama berlaku dengan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa turut melakukan perkara sama kepada Noor Azriel ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mac lalu.

Selain itu, pemain Kelantan FC, Jack Hindle turut menolak pengadil Amirul Aizat Mohd Lodin selepas pengadil tersebut dilihat menghadangnya daripada melakukan percubaan dalam kotak penalti dalam perlawanan Liga Premier di antara Kelantan FC dan Perak FC II pada 6 Mac lalu.

FAM telah memberikan amaran keras kepada Hindle dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama, manakala Insa berdepan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.

Dalam pada itu, Khalid turut menggesa hukuman lebih berat dikenakan kepada pemain yang menolak pengadil agar ia menjadi pengajaran untuk pemain lain tidak mengulangi perkara yang sama.

Laporan Sukan Sinar pada 2 April lalu.
Laporan Sukan Sinar pada 2 April lalu.

"Pihak FAM kena ambil tindakan yang keras. Kalau terjadi lagi keselamatan pengadil umpama dah terancam. Kita kesian kepada pengadil sebab keputusan kena dibuat masa itu juga. Mungkin keputusan itu tidak memihak mereka, tetapi tak bolehlah sentuh pengadil.

"Kami juga pernah menjadi pemain dan kami hormati pengadil. Saya tak faham kenapa pemain sekarang dah makin besar kepala. Saya juga mengharapkan pihak kelab turut bertanggungjawab dengan perangai pemain mereka.

"Jika seseorang pemain itu dah diambil tindakan oleh FAM, pengurusan kelab kena ambil tindakan juga kepada pemain tersebut seperti memotong gaji dan sebagainya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Memang patut kena kad merah

Natxo Insa digantung dua perlawanan, denda RM10,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!