Pemandu, kelindan maut treler terbalik
BENTONG - Pemandu dan kelindan treler membawa muatan bongkah batu maut selepas kenderaan itu terbabas sebelum terbalik di Kilometer 43.4, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di sini pada malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 9.10 malam itu, pemandu berusia 44 dan kelindan berusia 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler tersebut dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Bentong.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, treler tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelum terbalik.
"Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba dan mayat mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Zaiham berkata, orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, 11 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong ke lokasi untuk bantuan menyelamat.
Menurutnya, pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat pada jam 11 malam setelah keadaan di tempat kejadian selamat daripada bahaya-bahaya lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!