Mayat lelaki dalam longkang
KULAI - Satu mayat lelaki ditemui orang awam dalam longkang di Jalan Perindustrian Murni 2, Senai, dekat sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Awang berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bomba menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 6.05 petang.
Beliau berkata, lapan anggota dari BBP berkenaan dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Pihak bomba bertindak mengangkat mayat tersebut dengan menggunakan 'stretcher' dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Identiti mayat lelaki tersebut tidak dikenali kerana tiada maklumat yang diperoleh," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Isnin.
Menurutnya, operasi yang diketuai Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Baharuddin Mohd Omar itu tamat pada jam 7.07 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!