Mara peruntuk RM15 juta bina farmasi di seluruh negara

Mohamed Farid (kiri) melihat ubat-ubatan dan barangan kesihatan yang tersusun rapi di dalam ruangan U.n.i Farmasi Kota Jembal yang dimiliki oleh Siti Zainab (dua, kanan).
Mohamed Farid (kiri) melihat ubat-ubatan dan barangan kesihatan yang tersusun rapi di dalam ruangan U.n.i Farmasi Kota Jembal yang dimiliki oleh Siti Zainab (dua, kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan RM15 juta untuk membangunkan lebih banyak farmasi di seluruh negara menerusi Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC).

Ahli Majlis Mara, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, sasaran pertambahan jaringan 'outlet' di bawah jenama U.n.i Farmasi itu bertepatan dengan kehendak semasa di seluruh dunia yang ketika ini berdepan ancaman Covid-19.

Katanya, ProSPEC U.n.i Farmasi yang dilancarkan pada September 2018 berjaya membangunkan 10 farmasi melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM3.54 juta.

“Pembangunan itu mewujudkan 50 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Mara berhasrat melebarkan jaringan dengan menambah lebih banyak pembangunan ProSPEC U.n.i Farmasi di seluruh negara menggunakan peruntukan RM15 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas Perasmian U.n.i Farmas Kota Jembal, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Mara Kelantan, Abd Wahab Yusoff.

Beliau berkata, peserta berpotensi tinggi yang terpilih untuk menyertai program akan dibiayai dengan kemudahan had maksimum RM500,000 untuk membuka farmasi.

“Mereka perlu mengikuti modul latihan keusahawanan secara berstruktur yang dirangka khas.

“Mara menerusi ProsSPEC juga berjaya membina 35 rangkaian U.n.i Klinik dan giat membangunkan U.n.i Dental dalam usaha berterusan membangunkan usahawan bidang profesional,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Farmasi Hana yang dimiliki oleh graduan farmasi, Siti Zainab Abdul Aziz dijenamakan sebagai U.n.i Farmasi cawangan Kota Jembal.

Katanya, penjenamaan semula farmasi lebih kukuh dan mendapat bimbingan terus daripada pemain industri.

“Farmasi ini mendapat sokongan pembiayaan perniagaan daripada Mara bagi menambah dan mempelbagaikan stok ubatan serta peralatan kesihatan selain pengubahsuaian ruangan imej yang lebih menarik perhatian pembeli.

“Farmasi yang beroperasi pada 1 Mac lalu berjaya meningkatkan jualan harian sebanyak 50 peratus,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!