Zulkifli adakan pertemuan dengan gabenor Madinah

Zulkifli (kiri) disambut wakil Perhubungan Antarabangsa MWL, Mohammed bin Said Al-Majdouie. (Foto:Twitter Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri)
Zulkifli (kiri) disambut wakil Perhubungan Antarabangsa MWL, Mohammed bin Said Al-Majdouie. (Foto:Twitter Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri)
A
A
A

MADINAH - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tiba di Madinah pada Ahad, bagi meneruskan lawatan kerjanya ke Arab Saudi atas jemputan Liga Dunia Islam (MWL).

Ketibaan beliau dan delegasi Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz dari Riyadh disambut wakil Perhubungan Antarabangsa MWL Mohammed bin Said Al-Majdouie.

Zulkifli dijangka mengadakan pertemuan dengan Gabenor Madinah, Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud atas jemputan istana.

Beliau juga dijangka mengadakan program ramah mesra bersama para pelajar di Universiti Islam Madinah sebelum berangkat ke Makkah.

Di Makkah, Zulkifli dijadual mengadakan perbincangan dengan Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Arab Saudi Shaikh Abdullatif Abdulaziz Aal Al Shaikh serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Issam bin Saad bin Saeed.

Lawatan yang bermula Jumaat lalu hingga 18 April ini bertujuan memperkukuh kerjasama dalam hal ehwal Islam serta ibadah haji dan umrah sebagaimana yang dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) hasil kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu.

Zulkifli sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung MWL, Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa bagi meneruskan kerjasama hal ehwal Islam dan pertukaran kepakaran dalam menangani isu ancaman ekstremisme dan fahaman keganasan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!