Rusuhan kuil: Jangan sampai kredibiliti menteri dipertikai

Muzzammil Ismail
Muzzammil Ismail
A
A
A
ALOR SETAR - Isu kuil Sri Maha Mariamman perlu diuruskan sebaik mungkin oleh menteri berkaitan bagi memastikan rakyat tidak hilang kepercayaan sehingga menyebabkan protes yang lebih teruk

Exco Armada Bersatu Nasional, Muzzammil Ismail berkata, Menteri Perpaduan, Senator P. Waytha Moorty sepatutnya menenangkan keadaan kaum India dan meminta agar tidak merusuh mahupun berkumpul secara beramai-ramai.

Menurut Ketua Penerangan Armada Kuala Kedah itu, kenyataan menyalahkan pihak Polis atau mengeluarkan kenyataan yang hanya membangkitkan prejudis tidak dapat membantu meredakan keadaan.

"Jangan sampai rakyat mempertikai kredibiliti menteri dalam mengurus krisis dan persepsi yang akhirnya desakan dan protes akan bertambah buruk.

"Soal penempatan rumah ibadat seharusnya menjadi perkara nombor dua kerana ia perlu berlandaskan keputusan mahkamah. Yang menjadi keutamaan adalah keamanan dan keselamatan. Jangan gadaikan prinsip undang-undang (rule of laws) kerana politik," katanya dalam satu kenyataan.

Muzzammil berkata, Menteri Agama, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa juga disarankan untuk mengeluarkan arahan kepada masjid, surau untuk mengambil peranan dalam menenteramkan keadaan yang menggoncang negara waktu ini.

Menurutnya, kuliah dan khutbah Jumaat perlu menyampaikan hal yang menyentuh hati, nikmat rahmah, kasih sayang dan sejarah kekuatan perpaduan berpandukan sirah Rasulullah SAW menguruskan Madinah dan Makkah.

"Masjid juga boleh menganjurkan solat hajat perdana dan doa selamat agar Allah SWT menenangkan hati setiap masyarakat. Rakyat Malaysia wajib berdoa dan memberi sokongan moral kepada Muhammad Adib, pegawai Bomba yang tercedera dipukul sewaktu berkhidmat diberi kesembuhan," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Pertahankan kuil hina mahkamah ]
Artikel Berkaitan:


[ ARTIKEL BERKAITAN : Anggota bomba diserang dalam keadaan kritikal ]

[ ARTIKEL BERKAITAN : Rusuhan kuil: 'Kenapa Moorthy tak salahkan diri sendiri?' ]

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!