Rezeki digapai ilmu tanpa tipu

A
A
A

ILMU perlu dikongsikan. Jika tidak ia hanya akan tertanam bersama jasad kita di alam baqa. Ada orang berkata secara senang-senang, kosongkan diri kita sebelum kita bertemu ajal. Ertinya apa yang kita tahu, terutama segala yang baik, hendaklah kita curahkan kepada yang hidup demi kebaikan dan perbandingan hidup mereka.

Itulah yang saya hadapi setiap kali ruangan ini dituliskan. Namun apa yang hendak dikongsikan bukan sekadar kongsi-kongsi semata-mata, tetapi ia harus berupa sesuatu yang boleh memberikan manfaat atau faedah kepada umum, membuka mata dan bukan membuta mata.

Sesudah sekian lama mengharungi hidup, sejak Jepun berkuasa hingga sekarang, beranak cucu, tidaklah melampau jika saya katakan sudah banyak maklumat terkumpul dari pengalaman, pembacaan dan penontonan. Banyak, ya, tetapi bukan muktamad. Seluruh atau sebahagiannya bolehlah diistilahkan ilmu.

Bagaimanapun asas ilmu yang terdekat melalui jalan pintas ialah apa yang kita panggil sijil, diploma dan ijazah. Dari asas inilah ilmu selanjutnya ditambah secara terbuka dan tidak lagi terbatas kepada sukatan pelajaran yang diwajibkan untuk mendapat sijil, diploma dan ijazah itu. Asas itu sebenarnya menjadi ukuran, dan diterima umum, sebagai kemampuan diri untuk menyerap ilmu yang relevan selanjutnya.

Penerimaan ini menjadi sumbangan penting kepada seseorang itu untuk diangguki sebagai seorang yang mampu dalam sesuatu lapangan. Inilah sebenarnya mengapa hal diploma dan ijazah palsu menjadi isu besar. Jika di luar politik, katalah lulusan SPM boleh menjadi kerani. Tiada SPM, tidak boleh. Begitu juga halnya dengan jawatan sepadan diploma dan ijazah. Rezeki terletak di situ.

Maka jika menteri atau timbalan menteri atau menteri besar yang mendapat anggukan rakyat kerana antaranya ada diploma atau ijazah tetapi terbukti ia satu kepalsuan, maka mereka itu tidak lain dan tidak bukan sudah menipu rakyat, walau apa pun alasannya. Tidak perlulah menyerahkan nasib mereka kepada perdana menteri (PM), umpamanya, hendak mengenyahkan atau mengekalkan.

Lakukanlah apa yang sepatutnya. Serahkan surat letak jawatan. Terpulanglah kepada PM untuk membuat keputusannya. Jika tidak silap saya dua PRU dulu, DS Shahidan Kassim digantikan oleh seorang lain menjadi Menteri Besar Perlis. MB baharu itu dikatakan mempunyai ijazah dari kononnya sebuah universiti di AS.

Apabila saya menyelidikinya, saya dapati universiti itu tidak ada. Oleh kerana universiti itu dinamakan sempena sebuah kota kecil di timur AS, maka yang nyata ialah kota itu memang ada tetapi universiti itu tidak ada. Tidaklah diketahui apa yang berlaku kepadanya, tetapi setiap kali saya melihat wajahnya di TV atau akhbar, tanda tanya memenuhi dada saya. Menjelang PRU seterusnya, beliau sudah tiada lagi. Wallahuaklam.

Artikel Berkaitan:

Pada zaman ini ilmu yang relevan kepada kehidupan patut dikejari. Kita direstui Tuhan jika kehidupan kita baik, diberkati rezeki setimpalnya, mampu membesarkan anak dan mensejahterakan keluarga, jika kita mempunyai ilmu yang dikatakan relevan itu dan mendapat kerja yang setimpal.

Disebabkan dunia sudah global atau seantero, maka mendapat ilmu yang boleh dipakai di New York, Paris, Moscow, Shanghai, Tokyo, London, Doha, Jakarta dan lain-lain adalah paling berguna. Selepas menyebut semuanya itu, elok ditekankan bahawa sentiasa timbul sentimen ‘lowongan generasi’ atau ‘generational gap’ apabila generasi kini merasakan golongan ‘orang tua’ mendapat tempat, pangkat dan gelaran tanpa kelulusan diploma dan ijazah. Jika diteliti mendalam, ia sedikit benar tetapi sebahagian besar, salah.

Belajar di universiti-universiti terkemuka di AS, UK, Australia, Kanada dan New Zealand sudah mereka lalui sebelum generasi kini lahir lagi. Universiti Harvard di Boston, AS, selalu disebut-sebut sebagai nombor satu di dunia, amat sukar untuk memasukinya, tetapi dalam kalangan generasi dulu, termasuk ‘yang benar’ ini, pernah berpeluang belajar di sana dalam ilmu yang relevan puluhan tahun dulu. Yang penting ialah kita mesti mendapat kelulusan relevan yang tulen di mana-mana saja di tempat yang terbaik mungkin, demi kemudahan rezeki kemudian hari.

Bila saya menjejaki kaki di Universiti Malaya Kuala Lumpur kira-kira 55 tahun dulu, ia tunggal, tiada yang lain. Jumlah siswanya tidak lebih 2,000 orang dalam semua jurusan. Kini terdapat 120 buah universiti, awam dan swasta, dan jumlah siswa ialah ratusan ribu. Selalunya kuantiti boleh mengkompromikan kualiti. Palsu memalsukan kelulusan juga cenderung berlaku dalam kuantiti. Ini merebak ke tahap tertinggi negara seperti yang diperkatakan di atas. Berhentilah secara sukarela. Ringankan tangan PM.

*Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!