SJR diperketat elak rentas negeri sambut Ramadan, Aidilfitri
SHAH ALAM - Polis Selangor akan mengetatkan kawalan di Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dijalankan di beberapa lokasi di negeri ini bagi mengelakkan kejadian rentas negeri tanpa kebenaran daripada berlaku.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata usaha ini akan dijalankan selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan sebelum ini yang mahukan penekanan diberikan di SJR yang dijalankan.
"Menjelang Ramadan dan juga sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah pastinya akan berlaku pergerakan, jadi kita akan beri penekanan supaya pergerakan rentas negeri ini tidak akan berlaku dengan sewenang-wenangnya.
"Masa sama kita akan memperketatkan kawalan di setiap SJR yang diadakan, memandangkan peraturan yang ditetapkan yang mana memang tidak boleh rentas negeri seperti mana yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penyampaian surat penghargaan kepada empat anggota polis di Mess Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Shah Alam pada Isnin.
Katanya, ketika ini juga pihaknya sedang mengkaji keperluan sama ada untuk menambah atau mengekalkan bilangan Sekatan Jalan Raya(SJR) di negeri ini ketika Ramadan dan menjelangnya Aidilfitri kelak.
"Perkara itu masih dalam kajian, dan kita akan lihat dari masa ke semasa sama ada untuk kekal atau tambah SJR yang sedia ada.
"Apa pun kita lakukan adalah kita memfokuskan untuk bendung rentas negeri tanpa kebenaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!