Geran padanan RM5 juta bantu digital PKS
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM5 juta dalam bentuk geran padanan bertujuan membantu pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini dalam mengharungi cabaran wabak Covid-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu dijangka akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 1,000 PKS Selangor.
Menurutnya, geran bernilai RM5 juta itu bertujuan membantu PKS di negeri ini untuk mendigitalisasikan perniagaan mereka.
"Kerajaan Selangor memperuntukkan 50 peratus geran padanan atau maksima RM5,000 kepada setiap PKS untuk melanggan pembekal perkhidmatan digital yang ditetapkan.
"Bagi PKS yang kekurangan sumber untuk mendigitalisasikan perniagaan, anda dialu-alukan untuk memohon geran ini demi memperkukuhkan jangkauan digital perniagaan," katanya ketika berucap pada Pelancaran Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Isnin.
Amirudin berkata, kerajaan Selangor sememangnya sentiasa komited dalam agenda digitalisasi untuk membantu PKS dan perniagaan mikro ke arah digitalisasi.
"Kerajaan negeri ingin memberi jaminan bahawa peniaga dan pengguna akan mendapat manfaat dari pelbagai inisiatif dan geran," katanya.
Beliau memberitahu, sebanyak RM369 juta diperuntukkan kerajaan negeri untuk agenda digitalisasi Selangor dalam Belanjawan Selangor 2021.
"Agenda digitalisasi adalah penting kerana ia akan menjurus kepada penciptaan ekonomi baharu yang akan menyumbang kepada pencungkilan bakat serta peluang pekerjaan baharu.
"Ekonomi baharu pula adalah perlu untuk kebangkitan semula pasca pandemik Covid-19," katanya.
Menurut beliau, pendigitalan akan meningkatkan daya saing perniagaan serta produktiviti syarikat untuk bangkit berdepan tempoh mencabar akibat Covid-19.
"Peningkatan daya saing mewujudkan lebih banyak peluang serta cabang baharu perniagaan.
" Apabila ini berlaku, rantaian bekalan akan bertambah untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya.
Katanya, ekosistem digitalisasi yang semakin berkembang pula akan menyumbang kepada pertambahan peluang pekerjaan kepada rakyat.
"Daripada memberi subsidi bernilai jutaan ringgit untuk kelegaan sementara, kita seharusnya memberi fokus kepada pembinaan ekosistem yang mapan untuk menggalakkan syarikat tunas rintisan (startup) dan syarikat teknologi untuk berkembang.
"Ini sekali gus membantu mendigitalisasikan ekonomi tradisional untuk meningkatkan produktiviti mereka dan mengurangkan pembaziran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!