Kerajaan kaji pengambilan semula pekerja asing
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji pengambilan semula pekerja asing bagi sektor-sektor tertentu di negara ini, yang sukar mendapat pekerja dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Beliau menjelaskan, ia berikutan terdapat permintaan pihak majikan daripada sektor perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan, yang mempunyai bidang kerja yang tidak diminati oleh rakyat tempatan.
Saravanan berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan semua pihak berkenaan sebelum mengambil sebarang keputusan.
“Terdapat hampir 400,000 peluang pekerjaan masih tidak diisi dalam empat bidang ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Kerjaya Urban Poor (UP) di Pusat Komuniti Setiawangsa di sini pada Isnin.
Saravanan menjelaskan selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap majikan dan pekerja, beliau risau dengan keadaan pihak majikan yang sukar untuk mendapatkan pekerja bagi sektor 3D iaitu kotor, sukar dan bahaya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan masih menawarkan semua tawaran pekerjaan itu kepada rakyat Malaysia.
Kerajaan kini membekukan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor.
Sementara itu, Saravanan berkata, 34,283 peluang pekerjaan telah ditawarkan 164 majikan sepanjang Program Kerjaya UP anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang dijalankan di 10 negeri sejak 1 April lalu.
“Ini termasuk Kerjaya UP yang diadakan hari ini (Isnin), yang menyaksikan 10,592 jawatan kosong disediakan oleh 39 majikan,” katanya.
Selain daripada temuduga kerja, Program Kerjaya UP turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya, klinik penghasilan resume dan temuduga, kaunter sesi pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, khidmat nasihat keusahawanan & kewangan, latihan kerjaya dan pendaftaran e-Kasih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!